KOTA BHARU 14 MEI 2019. Pemangku Ketua Polis Daerah Jeli, Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Che Ahmad (tengah) menunjukkan ketum yang dirampas daripada dua lelaki di Kampung Belimbing, Batu Melintang, Jeli, Ahad lalu. NSTP/IHSAN PEMBACA
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


Tindakan dua penyeludup ketum yang cuba melarikan diri gagal apabila kenderaan mereka terbabas berhampiran Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Gemang, dekat Jeli, Kelantan, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, dua penyeludup menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Rush dari arah Lawar ke Jeli berjaya ditahan polis di Kampung Belimbing, Batu Melintang di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jeli, Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, kenderaan dinaiki dua lelaki berusia 17 dan 26 tahun dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, apabila cuba ditahan, suspek enggan memberhentikan kenderaan sebelum memecut laju meninggalkan kawasan berkenaan.

“Kami mengejar kenderaan suspek yang dipandu dalam keadaan berbahaya.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, kenderaan suspek merempuh kereta polis sebelum terbabas melanggar tiang elektrik

“Dua suspek yang berada di dalam kenderaan itu berjaya ditahan polis,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui 2,050 bungkusan plastik lut sinar berisi daun dipercayai ketum dianggarkan seberat 400 kilogram bernilai kira-kira RM12,000.

“Ketum itu dipercayai diperoleh dari Kedah untuk pasaran Pasir Mas dan dua lelaki itu dipercayai mengambil upah menghantar daun ketum berkenaan dengan bayaran sekitar RM400.

“Suspek lelaki yang juga pemandu berusia 26 tahun didapati positif dadah jenis Methamphetamin dan mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan reman bermula Ahad lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan pemandu kereta akan disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu kenderaan dengan gopoh di jalan awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 5:33 PM