Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


Dua bot nelayan asing yang sedang melakukan aktiviti menarik pukat ganding ditahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Timur Laut Pulau Redang, Terengganu, petang semalam.

Dua bot bersama 18 awak-awak dan tekong warga Vietnam itu ditahan anggota Pasukan Khas Laut ( PASKAL) TLDM yang diturunkan ke bot terbabit menggunakan kaedah ‘fast roping’ daripada helikopter.

Jurucakap Bahagian Komunikasi Strategik Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Tanjung Gelang, berkata, kedua bot itu cuba meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran kapal ronda TLDM, KD Pahang berhampiran kawasan mereka sedang melakukan aktiviti haram itu.

“Berdasarkan pemerhatian dan rakaman video oleh krew helikopter Fennec, awak-awak bot nelayan asing itu dilihat berusaha memotong tali pukat bagi memudahkan mereka melarikan diri ke arah Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sekaligus mengelak tindakan daripada pihak berkuasa.

“Selepas hampir 30 minit dikejar, kedua-dua bot berjaya ditahan oleh KD Pahang menggunakan pasukan PASKAL yang diturunkan ke bot itu melalui kaedah `fast roping’ atau turun menggunakan tali dari helikopter,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, operasi diketuai Pegawai Geledah KD Pahang, Leftenan Abdul Hannan Abdul Rafar itu berjaya menahan tekong dan awak-awak bot itu dan pemeriksaan lanjut mendapati semuanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Bot itu juga didapati menceroboh perairan negara dan melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran.

“Kita sudah menyerahkan bot terbabit kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM MALAYSIA) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Peperangan KD PAHANG, Leftenan Komander Mohd Adib Ikhwan Jamaludin berkata, kehadiran dan rondaan armada TLDM serta MARITIM MALAYSIA secara berterusan di sempadan perairan negara mengakibatkan kebanyakan bot nelayan asing menukar taktik atau modus operandi mereka.

“Kebanyakan bot nelayan asing menceroboh perairan negara pada lewat petang dan melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram sehingga matahari terbit.

“Modus operandi sebegini adalah bagi mengelak dari dikesan supaya mereka dapat bermaharajalela merompak hasil laut negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 2:22 PM
Anggota PASKAL menahan awak-awak dan tekong warga Vietnam hasil operasi khas semalam. Foto ihsan TLDM