Penduduk di Lorong Mahkota, Bandar Baru Klang mengambil bekalan air bersih yang dihantar oleh Syarikat Air Selangor berikutan tiga paip utama berhampiran projek pembinaan Lebuhraya West Coast Expressway Banting-Taiping pecah, baru-baru ini. FOTO Faiz Anuar
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


GANGGUAN bekalan air di daerah Klang yang terjejas berikutan insiden tiga paip utama pecah berhampiran projek Lebuhraya West Coast Expressway Banting-Taiping sudah pulih sepenuhnya.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Abdul Raof Ahmad berkata, bagi mengurangkan impak gangguan itu, pihaknya mengambil tindakan segera dengan menggunakan sistem bekalan alternatif.

“Ia dengan melaksanakan kerja-kerja pemasangan serta pengalihan jajaran paip baharu 1400mm yang siap pada jam 3 petang, semalam.

“Pemasangan jajaran paip baharu ini adalah penyelesaian kekal bagi penyaluran bekalan air kepada pelanggan yang menerima bekalan dari Kolam Lipat Kajang.

“Malah, ia akan meningkatkan kapasiti bekalan air terawat dan pemulihan sepenuhnya ke semua kawasan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Raof berkata, pihaknya memohon maaf kepada semua pelanggan yang terkesan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini selain tidak dapat menepati sasaran awal jadual kerja pembaikan serta tempoh pemulihan bekalan yang disasarkan.

“Ini adalah disebabkan kerumitan perlaksanaan kerja-kerja pembaikan yang perlu dilaksanakan dengan berhati-hati dengan keadaan tapak pembaikan yang berisiko tinggi.

“Ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini kepada pekerja dan aset-aset di tapak.

“Sepanjang kerja-kerja pembaikan awal yang dilaksanakan, berlaku pergerakan tanah dan kebocoran di lokasi lain di jajaran paip yang sama menyebabkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air yang disasarkan tertunda beberapa kali,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga kerja Air Selangor dan kontraktor lantikan yang bekerja 24 jam sehari tanpa henti sejak bermulanya insiden paip-paip utama ini pecah pada 4 Mei lalu.

“Penghargaan juga kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara yang memberikan kerjasama serta panduan kepada kami.

“Selain itu, sokongan yang diberikan Kerajaan Selangor, wakil-wakil rakyat, persatuan penduduk dan semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 12:40 PM