FOTO Hiasan
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


REMAJA perempuan maut selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di MJC, Batu Kawa di Padawan, malam tadi.

Kejadian 8 malam itu disedari oleh adik lelakinya yang dalam perjalanan pulang ke rumah sewa selepas makan bersama ibu mereka dan ketika melalui tepi bangunan itu, dia ternampak mangsa terbaring di atas jalan.

Difahamkan, mangsa berusia 16 tahun itu terjun dari bangunan berkenaan kerana kecewa dengan bapa tirinya yang bekerja di Singapura, jarang pulang ke Kuching selepas berkahwin dengan wanita warga Vietnam.

Sebelum kejadian, mangsa juga dikatakan membuat satu undian dalam Instagram miliknya yang dimuat naik pada 3 petang semalam dengan status ‘Really Important, Help Me Choose D/L’ yang membawa maksud mati (D) serta hidup (L) selepas diterjemah rakan rapatnya dan 69 peratus rakan memilih D, manakala 31 peratus lagi memilih L.

Selain itu, dalam Facebook miliknya, mangsa juga memuat naik status ‘Wanna Quit Life I’m Tired’.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sementara menunggu bapa tirinya pulang sebelum dibedah siasat.

“Pihak kami menerima aduan berkenaan kejadian pada 8 malam daripada seorang lelaki yang datang ke balai berhampiran dan memaklumkan ada seorang perempuan tidak dikenali terjun dari bangunan serta dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di atas jalan.

“Sepasukan anggota digegaskan ke lokasi dan hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan lebam atau luka pada bahagian tubuh badan mangsa tetapi dia parah di kepala,” katanya.

Aidil berkata, tidak ada sebarang unsur jenayah dikesan di lokasi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 11:53 AM