DZULKEFLY (tengah) melihat sistem katil bergerak untuk ibu bersalin ketika melakukan lawatan rasmi ke HTAR, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
Khairul Azran Hussin
am@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bercadang mengambil tindakan terhadap doktor yang menyokong gerakan anti vaksin di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian mengambil pendekatan berdialog bagi mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan vaksin kepada semua bayi dan kanak-kanak termasuk berhujah dengan golongan anti vaksin.

“KKM sentiasa memantau sebarang kempen yang dianjurkan golongan anti vaksin ini.

“Saya berpendapat adalah penting kita terus memberi penerangan mengenai kepentingan vaksin.

“Jika golongan anti vaksin ada hujah mereka, kita pun ada hujah kita sendiri. Malah, kita sedia berkongsi pentas untuk membahaskan perkara ini jika mereka mahu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim dan Pengarah HTAR Dr Mohamad Sabri Othman.

Ditanya sama ada pihaknya mempunyai data jumlah doktor yang dikesan menyokong gerakan anti vaksin di negara ini, Dzulkefly berkata, pihaknya tidak membuat pemantauan mengenai isu berkenaan.

“Bagi isu doktor yang menyokong kumpulan anti vaksin ini, saya menasihatkan masyarakat supaya melaporkan kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Masyarakat kena tampil membuat laporan kepada MMC bagi menentukan tindakan susulan kepada mereka (doktor),” katanya.

Beliau berkata, kertas cadangan bagi mewajibkan bayi dan kanak-kanak mendapat suntikan vaksin kini di peringkat akhir sebelum ia dibentangkan kabinet.

“Saya difahamkan pada 8 Mei lalu, pihak berkaitan sudah membentangkan cadangan ini kepada Ketua Pengarah (Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah).

“Perkara ini tidak boleh dibuat tergesa-gesa dan saya meminta semua pihak bersabar.

“Banyak sudut perlu dilihat kerana ada isu kritikal yang perlu dilihat dan saling berkait. Perkara penting ialah anak kita semua selamat,” katanya.

Pada Mac lalu, media melaporkan Dzulkefly dipetik berkata, KKM perlu meminda undang-undang sebelum mewajibkan dua suntikan vaksin membabitkan difteria dan MMR untuk merawat demam campak, beguk serta rubella.

Sebelum ini, Persatuan Farmasi Malaysia mendesak kerajaan mewajibkan suntikan vaksin bagi mengurangkan penyebaran penyakit yang dapat dielakkan menerusi vaksin di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 4:13 PM