DZULKHAIRI (dua dari kanan) ketika proses pelupusan barang kes Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri di Balai Polis Gelang Patah. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


POLIS Iskandar Puteri membuka lapan kertas siasatan berhubung kes individu menyamar sebagai kenalan untuk menipu bagi mendapatkan wang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, semua laporan diterima sejak Januari lalu dan akan disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial.

“Kita mengambil inisiatif menguar-uarkan melalui Facebook bahawa setiap masyarakat perlu berhati-hati dengan sindiket yang menyamar sebagai kenalan dan meminta untuk dipinjamkan wang, sedangkan rakan yang sebenar tidak tahu.

“Semua ini dalam siasatan,” katanya ketika ditemui pada Pelupusan Barang Kes Bahagian Siasatan Jenayah Iskandar Puteri di Balai Polis Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.

Dzulkhairi berkata, modus operandi sindiket dengan penyamaran begitu menyebabkan mangsa yang naif terus percaya dan memasukkan wang diminta ke akaun bank yang tidak dikenali.

“Sindiket menghubungi mangsa menerusi pesanan ringkas, WhatsApp atau panggilan telefon,” katanya yang memberitahu semua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Semalam, IPD Iskandar Puteri menerusi Facebook rasminya berkongsi peringatan kepada orang ramai berkaitan sindiket penipuan yang menyamar sebagai kenalan susulan banyak kes seumpamanya akhir-akhir ini.

Orang ramai turut diingatkan supaya bertindak bijak dengan menghubungi semula rakan didakwa mahu meminjam itu untuk kepastian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 3:05 PM