GUNASEKARAN (kanan) bersama Hoon (tengah) menunjukkan cermin tingkap dapur yang dipecah penjenayah di Kampung Baru Rahang, Seremban. FOTO Raja Noraina Raja Rahim.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


DALAM tempoh 24 jam, empat rumah di Kampung Baru Rahang, Seremban dipecah masuk semalam, menyebabkan penduduk kerugian ribuan ringgit.

Difahamkan, kejadian bermula 2 pagi kelmarin hingga semalam, ketika semua penghuni sedang tidur.

Seorang daripada mangsa, Hoon Yoke Fah, 48, berkata, dia hanya menyedari rumahnya diceroboh apabila bangun pagi dan mendapati tingkap dapur, pecah.

“Saya buat pemeriksaan dan mendapati beg duit, telefon bimbit dan motosikal sudah hilang. Saya tidak sedar bila suspek masuk ke bilik dan mengambil beg duit saya.

“Sebelum ini, rumah pernah dipecah masuk dan saya tidak menyangka kejadian sama berulang lagi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Wanita itu kini trauma dan sukar untuk tidur malam kerana bimbang kejadian berulang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran menggesa polis melakukan rondaan secara kerap di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan penduduk yang rata-ratanya takut dan bimbang jenayah itu terus berlaku sekiranya tiada tindakan segera diambil.

“Empat rumah dipecah masuk yang menyebabkan wang tunai, barang kemas dan motosikal dilarikan suspek yang mana, semuanya dilakukan dalam satu malam (24 jam).

“Dua bulan lalu juga berlaku jenayah ini tetapi hanya membabitkan sebuah rumah. Saya fikir polis perlu ambil tindakan tegas,” katanya.

Gunasekaran berkata, pihaknya akan berjumpa dengan Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Mohd Rosli Ishak bagi memastikan kejadian itu mendapat perhatian polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 2:41 PM