ANGGOTA TLDM menahan bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara.
Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menahan sebuah bot nelayan asing ketika melaksanakan operasi mengawal keselamatan dan kedaulatan sempadan maritim negara di perairan Pantai Timur Semenanjung, kelmarin.

Bot bersama 14 orang awak-awak serta tekong warga Vietnam itu ditahan Kapal Diraja (KD) Pahang di sekitar Laut China Selatan pada pagi kelmarin ketika melakukan rondaan bersama Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (MARITIM MALAYSIA).

Pegawai Memerintah KD Pahang, Komander Mohamed Khairun Zakaria, berkata, ketika melaksanakan rondaan, pihaknya mengesan bot nelayan itu sedang menunda pukat dalam kawasan perairan negara.

“Menyedari kehadiran KD Pahang, bot itu cuba melarikan diri ke sempadan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara, namun berjaya dipintas kapal kita dan ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu berasal dari Vietnam dan menceroboh perairan negara serta menangkap ikan tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau berkata, seramai 14 nelayan warganegara Vietnam ditahan itu juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Bot bersama 14 orang awak-awak dan tekong itu diserahkan kepada MARITIM MALAYSIA untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, TLDM akan memastikan rondaan berterusan dan sepanjang tahun dilaksanakan dalam usaha melindungi dan menjaga kedaulatan perairan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 10:48 AM