PENDUDUK membuat bantahan di hadapan bangunan MPSPK selepas menyerahkan memorandum bantahan operasi kilang kitar semula sisa plastik di Kuala Muda. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


Lebih 50 penduduk sekitar Sungai Petani berkumpul bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap operasi kilang kitar semula sisa plastik yang terdapat di sekitar daerah Kuala Muda kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), hari ini.

Memorandum turut diserahkan kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) bersama petisyen yang ditandatangani kira-kira 7,000 penduduk.

Pengerusi Persatuan Tindakan Alam Sekitar yang juga wakil penduduk, Ong Kok Fooi berkata, penyerahan memorandum itu bertujuan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kilang terbabit sekiranya didapati beroperasi secara haram dan tidak mematuhi piawaian ditetapkan.

“Sejak Mei tahun lalu, penduduk berdepan dengan pencemaran alam sekitar berikutan pelepasan asap berlebihan dan bau kurang menyenangkan dari kilang terbabit hingga menyebabkan aktiviti harian penduduk terjejas.

“Selain itu, kita juga dapati sisa plastik ini dibuang dan dibakar dengan sewenang-wenangnya berhampiran kediaman penduduk,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, mereka kesal apabila terdapat kilang yang masih beroperasi pada lewat malam biarpun waktu operasi ditetapkan kerajaan negeri bermula 6 pagi hingga 8 malam.

Dalam pada itu, dia mendakwa terdapat banyak lagi kilang kitar semula plastik di Sungai Petani yang beroperasi secara haram berdasarkan tinjauan dilakukan.

“Kami akan terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai kilang yang didapati beroperasi secara haram ini.

“Operasi kilang ini serta kilang lain yang boleh menyebabkan pencemaran alam perlu dihentikan segera kerana penduduk di bandar ini mahukan kehidupan yang sihat dan selamat dengan menghirup udara yang bersih,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri menutup tujuh daripada 12 kilang kitar semula sisa plastik import yang beroperasi secara haram di negeri ini.

Kilang berkenaan dikatakan tumbuh bagai cendawan sejak setahun lalu apabila kilang kosong disewa di sekitar Sungai Petani terutama di Taman Ria Jaya, Bakar Arang, Bukit Selambau dan Pinang Tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 1:23 AM