ORANG ramai terpaksa beratur untuk membeli ayam golek madu Bunohan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


PELANGGAN perlu beratur panjang selama 45 minit hingga satu jam, itu fenomena dapat dilihat setiap petang sepanjang Ramadan ini apabila orang ramai sanggup beratur panjang mendapatkan ayam golek madu Bunohan di tepi Jalan Kuantan-Gambang, dekat Batu 8, di Kuantan.

Keenakan dan keunikan rasa menjadi tarikan utama 150 hingga 250 pelanggan tempatan dan luar daerah ini yang sabar beratur menunggu giliran di lima lokasi jualan ayam golek itu.

Bagi Mohd Hisyam Othman, 27, yang memasuki tahun keempat berniaga hidangan itu berkata, kualiti ayam digunakan menjadi faktor utama ayam goleknya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Saya mula berniaga 3 petang dan setiap hari, sebanyak 150 hingga 220 ayam golek dapat dijual di setiap lokasi dalam masa beberapa jam sahaja.

“Sejak hari pertama Ramadan sambutan, ayam golek madu Bunohan yang dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Penggunaan rempah ratus khas dan proses memerap ayam selama sejam dilakukan secara berasingan menyebabkan ayam golek madu ini mempunyai rasa yang istimewa dan enak,” katanya kepada wartawan Harian Metro.


Pembantu gerai menyediakan ayam golek madu Bunohan ayam golek untuk dijual. FOTO Mohd Rafi Mamat

Mohd Hisyam berkata, dia terpaksa menggunakan lebih 10 pembantu bagi menjalankan perniagaan itu di lima lokasi sekitar daerah ini antaranya di Indera Mahkota, Beserah, Peramu, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan dan Batu 8.

Beliau berkata, proses membersih dan memerap ayam mula dilakukan seawal 7.30 pagi sebelum aktiviti memanggang dan menjual bermula pada 3 petang.

Katanya, kawalan api dihasilkan kayu arang yang sempurna sepanjang proses memanggang penting bagi memastikan ayam tidak hangus hingga mengubah rasa, warna dan kualiti.

“Saya menjual dengan harga RM22 seekor dan kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan ayam golek madu Bunohan kerana mempunyai rasa yang istimewa,” katanya.

Pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid berkata, dia sanggup menunggu lama hanya semata-mata untuk mendapat ayam golek madu Bunohan yang istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 12:32 AM