SUSPEK yang ditahan. FOTO ihsan polis
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


SEORANG warga asing dicekup ketika sedang menggeledah bilik di sebuah rumah di Kampung Ranggu Batu 12, Tawau, malam kelmarin.

Kelibat lelaki berumur 23 tahun itu disedari seorang ahli keluarga pemilik rumah selepas terdengar bunyi anjing menyalak pada jam 12.15 tengah malam.

Difahamkan pemilik tiada di rumah ketika kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata, pengadu yang juga anak saudara kepada pemilik rumah kemudiannya membuat pemeriksaan selepas curiga dengan bunyi bising itu.

Menurutnya, pengadu kemudian melihat seorang lelaki tidak dikenali tanpa pakaian sedang menggeledah barang di sebuah bilik.

“Suspek cuba melarikan diri ke bahagian dapur, namun berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Azizul berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memecah masuk melalui bumbung dapur.

Bagaimanapun katanya, tiada barang dilaporkan hilang.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (curi dalam bangunan),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 12:48 PM