MINYAK masak Malaysia yang terdapat dijual di Thailand. FOTO arkib NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hasbi Sidek
cnew@hmetro.com.my


HANYA sembilan kes berkaitan minyak masak subsidi direkodkan sejak Januari hingga April lalu namun ia mencatatkan nilai rampasan paling tinggi mencecah RM12 juta.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, 245 kes dihasilkan sejak 2016 sehingga April lalu dengan nilai rampasan mencecah RM15 juta.

“Daripada jumlah kes yang dihasilkan sebanyak 46 kes dikompaun membabitkan nilai RM182,000 manakala 12 kes didenda dengan nilainya berjumlah RM392,000.

“Hanya satu kes membabitkan hukuman penjara iaitu pada 2016. Untuk tahun 2019, meskipun bilangan kes hanya sembilan kes namun ia membabitkan nilai rampasan paling besar berjumlah RM12 juta,” katanya ketika dihubungi semalam.

Iskandar berkata, 4,084 premis diambil tindakan oleh KPDNHEP membabitkan rampasan pelbagai barang kawalan lain berjumlah RM28.8 juta sejak Januari lalu.

Ia susulan pemeriksaan terhadap 183,043 pelbagai premis perniagaan di pelbagai peringkat termasuklah bengkel kenderaan, stesen minyak, gerai makan, pasar tani dan pasar basah serta pemborong, pengilang dan pembungkus berkaitan barang kawalan.

Daripada jumlah itu, 2,787 kes ditawarkan kompaun dengan jumlah keseluruhan nilai kompaun berjumlah RM534,650.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat 2,400 penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara untuk memastikan undang-undang dikuatkuasakan.

Menurutnya, nisbah bilangan anggota penguatkuasa berbanding lebih 32 juta rakyat Malaysia adalah cabaran bagi pihaknya.

“Kalau ikutkan strategi kementerian, saya mahu ambil pendekatan meminta rakyat membantu kementerian (salurkan aduan dan maklumat).

“Namun ketika bertukar pandangan dengan penguatkuasa, isu penyelewengan barangan subsidi berlaku setiap minggu dan kawasan sempadan amat luas terutama Sabah dan Sarawak,” katanya.

Harian Metro sejak Rabu lalu mendedahkan kegiatan penyeludupan paket minyak masak subsidi sekilogram membabitkan hampir semua bandar utama di selatan Thailand antaranya Dannok, Betong, Yala, Haiyat, Sadao dan pedalaman negara itu.

Tinjauan wartawan mendapati minyak masak subsidi itu yang dijual pada harga RM2.50 di Malaysia sebaliknya dijual pada harga 30 Bath (RM3.90) di Thailand.

Susulan pendedahan itu, Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kerajaan kerugian berpuluh juta ringgit setahun melalui kos subsidi ditampung kesan penyelewengan dan penyeludupan minyak masak paket sekilogram ke negara jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 6:15 AM