ANGGOTA bomba dan paramedik Hospital Bintulu berusaha melakukan CPR, namun mangsa disahkan meninggal dunia selepas ditemui di dasar tasik di Bandar Ria Park, Bintulu, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Erika George
cnews@nstp.com.my


KESERONOKAN sekumpulan remaja lelaki mandi di tasik berdekatan PPR Bandar Ria Park, Bintulu ketika cuaca panas bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, hari ini.

Mangsa, Richmond Teo Yii Wen, 17, ditemui penduduk yang turut membantu menyelam ke dasar tasik berkenaan untuk mencarinya selepas dimaklumkan dia tidak kelihatan ketika rakannya sudah naik ke darat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mohamad Meramit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.49 petang.

Beliau berkata, sembilan anggota dari BBP Bintulu termasuk anggota EMRS dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati seorang remaja lelaki yang dikatakan hilang itu sudah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Anggota bomba berusaha membantu merawatnya termasuk membuat CPR terhadap mangsa, namun tiada tanda mangsa masih bernafas.

“Kakitangan paramedik Hospital Bintulu berusaha melakukan CPR terhadap mangsa, namun masih gagal dan mangsa disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 9:38 PM