KUMPULAN penjaja warga asing. FOTO Ihsan Pembaca.
Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@nstp.com.my


PENGUAT kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengusir sekumpulan pelancong dipercayai menjalankan perniagaan tanpa permit di siar kaki Jonker Street, Bandar Hilir, Melaka, 9 malam tadi.

Kumpulan dipercayai pengembara beg galas berusia lingkungan 20-an itu dikatakan duduk di kaki lima berhadapan sebuah restoran dan menjual hasil kraf tangan.

Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah Mansor Sudin berkata, penguat kuasa mengarahkan kesemua pelancong asing terbabit menghentikan aktiviti dan beredar dari lokasi.

“Difahamkan mereka memasuki negara ini menggunakan visa pelancong, jadi macam mana menjalankan perniagaan, itu sudah salah.

“Kita usir dan mereka memberikan kerjasama selepas satu teguran. Bagi kes sebegini, kita akan meminta mereka beredar dengan cara berhemah tetapi jika masih berdegil, tindakan seterusnya akan dikenakan,” katanya.

Mansor berkata, kumpulan itu dipercayai berbuat demikian kerana berdepan masalah kewangan atau mengambil kesempatan sikap pemurah orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 8:13 PM