ROKOK putih dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


PERBUATAN lelaki warganegara Bangladesh menyimpan 40 karton rokok putih tanpa cukai dalam but sebuah Proton Saga BLM mengundang padah apabila dia ditahan polis di Jalan Sidam Kanan, Padang Serai, Kulim, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, dalam kejadian 10 malam anggota polis sedang menjalankan ronda cegah jenayah menahan kereta dipandu suspek berusia 25 tahun untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan kami menemui 40 karton dengan setiap satu mengandungi 10 kotak rokok putih tanpa cukai.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Padang Serai dan semakan mendapati dia tidak memiliki lesen memandu serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Sementara itu semakan mendapati kereta berkenaan milik rakyat tempatan, setakat ini suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Safuan berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta 1976 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1963.

“Rakyat tempatan diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya meminjamkan kereta milik mereka kepada warganegara asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 5:24 PM