ROSSAZLIN ditemui dalam keadaan lapar dan demam. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek
cnews@nstp.com.my


GADIS dari Kampung Paya Garuk, Jerantut, Pahang, dilaporkan hilang pada 4 Mei lalu dijumpai selamat di Jerteh, Terengganu, kelmarin dalam keadaan lapar dan mengalami demam.

Mangsa, Rossazlin Roslan, 18, ditemui satu keluarga kira-kira 4 pagi di Terminal Bas Jerteh sebelum dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Tok Deh.

Abang mangsa, Mohamad Rosli, 27, berkata adiknya dibawa seorang lelaki dari Jerantut ke Terengganu, kemudian ditinggalkan di sebuah rumah kosong sebelum ditemui oleh keluarga terbabit.

“Keluarga itu menghantar adik saya pulang ke rumah petang kelmarin. Kami sudah membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut dan menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Jerantut.

“Alhamdullilah, Rossazlin pulang dengan selamat dan kami tidak akan membiarkan kejadian ini berulang lagi,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha mencari adiknya sehingga ditemui.

Pada Sabtu lalu, Rossazlin dilaporkan hilang selepas keluar rumah 3.30 petang untuk ke surau bagi melihat ibu bapanya, Roslan Abdul Razak, 54, dan Wan Noraini Wan Nor, 53, memasak untuk kenduri doa selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 2:29 PM