Empat KD TLDM terbabit dalam OSTEX di perairan ZEE di Pantai Timur Semenanjung. FOTO Ihsan TLDM
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


EMPAT Kapal Diraja (KD) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbabit dalam Operational Sea Training Exercise (OSTEX) di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Pantai Timur Semenanjung selama tiga hari bermula Rabu lalu.

Empat kapal TLDM itu adalah KD Pahang, KD Laksamana Muhammad Amin, KD Laksamana Tan Pusmah dan KD Perdana serta sebuah Helikopter Fennec.

Pegawai Memerintah KD Pahang, Komander Mohamed Khairun Zakaria berkata, tujuan OSTEX itu diadakan adalah untuk melaksanakan latihan integrasi di kawasan operasi maritim dengan objektif untuk meningkatkan tahap kompetensi warga armada serta menguji tahap kesiapsiagaan aset di Markas Wilayah Laut 1.

Beliau berkata, latihan yang dilaksanakan sepanjang pelayaran OSTEX itu meliputi latihan taktikal peperangan, latihan menggeledah, latihan pendaratan helikopter di geladak kapal, latihan mencegah kebanjiran dan melawan api, latihan pemindahan di laut, latihan menyelamatkan orang jatuh laut serta evolusi ilmu kelautan.

“Selain itu, ia juga sebagai persiapan bagi menghadapi eksesais terbesar TLDM iaitu Eksesais Kerismas dan Eksesais Taming Sari yang dirancang dilaksanakan tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Komander Gugus Tugas bagi OSTEX 6/19 berkata, pembabitan pegawai dan anggota dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada siri OSTEX kali ini menunjukkan kolaborasi erat antara agensi yang mana siri latihan menggeledah bot nelayan dilakukan secara bersama.

“Ia juga memberi impak positif terhadap peningkatan tahap kompetensi warga armada dan kesiagaan aset terbabit. “Semua siri latihan yang dirancang dilaksanakan sebaik-baiknya dan berjaya mencapai objektif ditetapkan.

“Dalam masa sama, keadaan di kawasan latihan terutamanya di perairan ZEE Malaysia juga aman, terkawal dan bebas daripada pencerobohan oleh anasir luar termasuk bot nelayan asing,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan rondaan secara berkala dan penguatkuasaan undang-undang yang berterusan oleh TLDM dan agensi maritim lain berjaya memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

“Hal ini terbukti dengan pengurangan secara mendadak kes pencerobohan bot nelayan asing di kawasan perairan negara ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 12:29 PM