Tali pukat dan boya milik bot nelayan yang hilang dikesan pasukan penyelamat di perairan Pulau Rebak, Langkawi. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


BOT nelayan membawa empat awak-awak Thailand yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Rebak, Langkawi Selasa lalu sudah dikesan kedudukannya.

Pengarah Maritim Wilayah Utara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, pasukan SAR menemui petunjuk baharu pada hari ketiga SAR dilancarkan.

“Kita yakin bot yang hilang itu sudah ditemui berikutan penemuan bangkai bot karam berhampiran lokasi kejadian pada hari ketiga SAR dijalankan.

“Aset yang menyertai operasi berjaya mengesan tali pukat serta boya terapung namun tiada mangsa ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Bot nelayan yang dinaiki empat awak-awak Thailand sebelum dilaporkan hilang Selasa lalu. FOTO Ihsan Maritim Malaysia

Rozali berkata, sehubungan itu SAR yang ditangguhkan semalam diteruskan 7.30 pagi hari ini.

“Kerja mengapungkan bot yang dikhuatiri tenggelam bersama empat awak-awak akibat ribut itu akan dilakukan pemiliknya.

“Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi akan meneruskan SAR dalam usaha untuk mencari dan mengesan mangsa bot karam itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan empat awak-awak warga Thailand dikhuatiri hilang selepas bot nelayan kelas C dinaiki mereka untuk memukat ikan dipukul ribut berhampiran Pulau Rebak.

Berita berkaitan

Empat hilang bot dipukul ribut

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 10:09 AM