CHUA (dua dari kanan) menerima sijil MBOR daripada Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong (tiga dari kiri).
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Pusat beli-belah Paradigm Mall Johor Bahru di sini, menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menghasilkan watak kartun SpongeBob kembung terbesar di negara ini.

Watak SpongeBob dengan ketinggian 11 meter dan lebar enam meter itu dipamerkan di ruang pentas utama untuk memberi peluang kepada pengunjung mengambil gambar, selain mewujudkan suasana riang kepada pengunjung kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif Peruncitan WCT Malls, Selena Chua berkata, penampilan istimewa watak kartun itu bertepatan dengan tema ‘Seronoknya Raya’ yang pastinya memeriahkan lagi suasana pusat beli-belah itu.

“Peminat SpongeBob SquarePants dan rakan karibnya, Patrick Star berpeluang berhibur bersama kartun kegemaran mereka di samping bergambar untuk disimpan sebagai kenangan.

“Lebih enam juta pengunjung datang ke Paradigm Mall Johor Bahru pada setiap suku tahun dan kami sentiasa berusaha menjadikan pengalaman mereka ke pusat beli-belah ini lebih unik dan bermakna,” katanya.

Selena berkata, sempena ulang tahun SpongeBob SquarePants yang ke-20, kawasan tumpuan Paradigm Mall Johor Bahru turut dihias dengan ‘dunia magik’ bagi membolehkan pengunjung merasai musim perayaan dengan penuh keceriaan.

“Peminat turut berpeluang menyaksikan 20 patung SpongeBob bersaiz manusia termasuk mendapatkan cenderahati dan koleksi patung edisi terhad di pusat beli-belah ini,” katanya.

Paradigm Mall Johor Bahru turut mengadakan pelbagai acara dan persembahan menarik sepanjang tempoh sebulan bermula 10 Mei hingga 9 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 6:31 AM