DR Mahathir bersama Timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan pembangunan negara hari ini mengguna pakai pendekatan atau model Kemakmuran Bersama, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pendekatan itu ialah meningkatkan kuasa beli rakyat dan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah dan rantaian bekalan yang melampau.

Dr Mahathir berkata, kerajaan berhasrat membangunkan negara dengan lebih pesat dan makmur namun pembangunan itu tidak hanya dinilai melalui angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata, pembangunan dan kekayaan ini harus diagihkan secara lebih adil supaya semua rakyat dapat merasainya.

“Rakyat tertanya-tanya mengenai rancangan baharu ekonomi negara seterusnya untuk menyelesaikan kemelut sekarang.

“Masyarakat dunia, pelabur dan pasaran juga meletakkan harapan tinggi kepada kestabilan politik baharu, bebas kleptokrat dan potensi baharu yang ada di Malaysia.

“Mereka ingin melihat hala tuju Malaysia yang lebih jelas,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Perdana sempena Setahun Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, dalam definisi yang ringkas, Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus-menerus membangun secara mampan.

Ia seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian serta kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang 2030.

Beliau berkata, matlamat Kemakmuran Bersama adalah menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat, sekali gus memastikan mereka merasai nikmat dengan lebih adil dan teragih.

Menurutnya, Kemakmuran Bersama ini dibangunkan untuk mencapai tiga objektif utama iaitu memastikan jurang pendapatan dan kekayaan rakyat dapat ditangani: model pembangunan baharu untuk semua dan meletakkan Malaysia lebih cemerlang serta menjadi salah satu paksi ekonomi penting di Asia.

“Bagi mencapai matlamat kemakmuran itu, terdapat tujuh teras strategik perlu dilaksanakan termasuk penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri negara, meneroka sektor pertumbuhan baharu, memanfaatkan reformasi bakat dan sumber tenaga negara, memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja.

“Selain itu, turut ditekankan adalah memperkukuhkan kesejahteraan sosial, menumpukan kepada pembangunan wilayah yang inklusif dan meningkatkan modal sosial masyarakat,” katanya.

Katanya, bagi memastikan tujuh teras strategik itu dicapai, kerajaan turut mengenal pasti pemangkin lain.

Ia adalah dasar fiskal yang progresif, aras tanda urus tadbir dan integriti tinggi, penghasilan Pendidikan dan TVET bernilai tinggi, modal sokongan kewangan kompetitif; penyampaian institusi kerajaan yang efektif, kestabilan monetari, big data yang komprehensif dan terangkum serta masyarakat sivil dan berpengetahuan.

Dr Mahathir berkata, Kemakmuran Bersama seharusnya dinilai dengan apa yang dimiliki rakyat seluruhnya dari segi gaji dan nilai pendapatan isi rumah, pemilikan aset kewangan fizikal dan simpanan, penyertaan dalam rantaian bekalan, nilai jurang antara bandar dan luar bandar dan pelbagai komponen pengukuran lain.

“Kita harap konsep dan perancangan yang difikirkan ini dapat diteliti dengan lebih mendalam oleh semua peringkat dan kumpulan rakyat.

“Ia akan dibawa ke peringkat akar umbi untuk mendapat maklum balas dan idea lebih baik sebelum dapat dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan 13 bagi mencapai matlamat Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 6:00 AM