SUKARELAWAN menyiapkan pek makanan berbuka puasa. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my


PETALING JAYA: Membuat kebaikan tidak semestinya memerlukan wang yang banyak atau menanti sehingga seseorang itu kaya dengan harta.

Itu yang cuba diterapkan Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia) apabila membantu golongan memerlukan terutama miskin bandar melalui cara tersendiri.

Dengan menggunakan konsep Program Bantuan Makanan Tesco, mereka bersama dua badan bukan kerajaan (NGO) bergerak menyantuni golongan memerlukan di Lembah Klang dan seluruh Malaysia.

Pengurus Besar Tesco Ara Damansara, Shaifulnizad Kassim berkata, bukan semua dilahirkan dalam keluarga berada dan atas sebab itu, setiap individu mahupun organisasi perlu berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan.

Katanya, Tesco Malaysia tampil dengan inisiatif itu untuk mengurangkan pembaziran makanan dengan kerjasama dua organisasi iaitu Food Aid Foundation (FAF) dan Kechara Soup Kitchen.


HAYATI (dua dari kiri) dan sukarelawan menyiapkan pek makanan untuk diagihkan kepada penerima. FOTO Zulfadhli Zulkifli

“Mengambil kira keperluan mengurus pembaziran makanan dengan baik, kami memulakan Program Bantuan Makanan Tesco sejak 2016 yang dijalankan pada musim perayaan dan hari biasa.

“Menerusi program ini, lebihan makanan (surplus food) meliputi bahan basah atau kering yang masih elok, tetapi tidak terjual di semua outlet kami pada setiap hari disalurkan kepada golongan asnaf dan rumah kebajikan melalui bantuan FAF serta Kechara Soup Kitchen.

“Setakat ini, kami menderma 3.6 juta hidangan kepada golongan sasar itu,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan 400 pek juadah berbuka puasa kepada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di sini, kelmarin.

Bertempat di ruang parkir berbumbung Tesco Ara Damansara, Pengarah Operasi FAF, Hayati Ismail bersama 40 sukarelawan sibuk menyediakan pek makanan berbuka puasa berkenaan.


PEK makanan disusun di dalam trak sebelum dibawa ke lokasi. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Sambil bergurau senda, mereka melakukan tugas masing-masing dan seperti diucapkan Cef Syafiq Shahrom, kerja yang berat apabila dilakukan beramai-ramai di bulan Ramadan ini menjadi ringan berbekalkan semangat gotong-royong.

“Jika kita ikhlas ketika melakukannya, mereka yang menerima sudah tentu merasainya juga,” katanya.

Menurut Hayati, kerjasama itu membantu mereka menguruskan pembaziran makanan dengan lebih baik kerana ia dapat disalurkan kepada golongan miskin bandar dan gelandangan.

“Seperti hari ini (kelmarin), kami memasak dan menyediakan 500 pek makanan berupa hidangan Nasi Pilaf Lemon, Ayam Maison, dalca sayur dan acar jelatah khas untuk penduduk PPR Lembah Subang 1 dan anak yatim.

“Sebanyak 60 ekor ayam dan 45 kilogram beras basmathi sumbangan Tesco Ara Damansara digunakan dalam masakan utama ini.

“Kami dibantu 40 sukarelawan terdiri daripada kakitangan Tesco Ara Damansara, Panasonic, penuntut Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) dan Persatuan Ahli Kulinari Profesional (PCA) yang turun padang jam 9.30 pagi,” katanya.


SHAIFULNIZAD mengagihkan pek makanan kepada penduduk PPR Lembah Subang 1. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Berkongsi mengenai peranan FAF, kata Hayati pertubuhan tanpa keuntungan ditubuhkan sejak Jun 2013 itu mempunyai misi utama mengurangkan pembaziran makanan dan menangani masalah kebuluran serta kekurangan nutrisi menerusi menyelamatkan makanan lebihan.

“Lebihan makanan daripada operator makanan, pengusaha industri makanan, pengilang atau pengeluar makanan, pasar raya besar dan sederhana, pengimport makanan dan pemborong bahan makanan dengan status halal akan kami selamatkan.

“Selepas itu ia dikumpul di bank makanan (food bank) lalu diedarkan secara percuma.

“Sebenarnya makanan dikumpul ialah lebihan produk seperti makanan sejuk beku, ramuan dan bahan mentah, produk bermusim yang masih elok, tetapi mungkin disebabkan kesilapan label, dipulangkan pelanggan serta sebagainya mereka tidak boleh menjualnya semula,” katanya yang menyeru lebih ramai pihak persendirian mahupun korporat mencontohi Tesco dalam usahanya membantu golongan kurang bernasib baik.


KAKITANGAN menyiapkan Kotak Makanan Amal Tesco. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Seorang penerima, Shuhaila Ab Rahman, 35, mengucapkan terima kasih kepada Tesco dan FAF kerana tidak terlepas pandang dengan penduduk di kejiranan PPR yang kebanyakannya bergaji rendah atau sederhana.

“Syukur alhamdulillah dengan pemberian set makanan ini. Pasti anak di rumah gembira sebab selalunya menu berbuka kami ala kadar saja,” katanya.

Sementara itu, sempena Ramadan ini, Tesco Malaysia turut melancarkan Kotak Makanan Amal sebagai inisiatif membantu keluarga kurang bernasib baik dan rumah kebajikan untuk menyambut Syawal.

Dengan hanya RM50, pelanggan Tesco dapat menyumbang barangan makanan seperti minyak masak, mi, makanan dalam tin dan sebagainya kepada mereka yang memerlukan.

Sumbangan makanan diisi di dalam kotak sebelum diberi kepada golongan sasar.

Kotak Makanan Amal ini dijual di cawangan Tesco di seluruh negara selain belian dalam talian menerusi Lazada sehingga 31 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 5:31 AM