FOTO Hiasan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


DUA pelajar tahfiz lelaki didakwa diliwat, manakala tiga lagi mendakwa dicabul warden asrama tempat mereka menginap di sebuah pusat tahfiz di Kangar, sepanjang April lalu.

Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohd berkata, seorang guru di pusat tahfiz berkenaan yang berusia 25 tahun tampil membuat laporan pada jam 11.25 pagi hari ini di Balai Polis Simpang Empat selepas seorang daripada mangsa mengadu kepadanya.

Menurutnya, kesemua mangsa yang berusia antara sembilan hingga 15 tahun itu juga dipaksa melakukan seks oral kepada warden lelaki berkenaan berulang kali selain memaksa untuk menonton video lucah bersama di bilik lelaki itu.

"Berdasarkan keterangan guru pusat tahfiz berkenaan, seorang mangsa berusia 15 tahun ada berjumpa dengannya di pejabat pentadbiran sekolah pada 24 April lalu dan mengadu mengenai perbuatan suspek yang meliwat dan memaksa mangsa melakukan amang seksual di bilik warden sejak awal April.

"Mangsa diugut pukul oleh suspek agar tidak memaklumkan kepada sesiapa mengenai perkara berkenaan, dan berikutan tidak tahan sering diperlakukan demikian menyebabkan mangsa bertindak melaporkan perkara terkutuk itu.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dalaman pihak sekolah mendapati empat lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan hingga 12 tahun turut menjadi mangsa kegiatan tidak bermoral warden itu dalam beberapa kejadian yang berasingan," katanya ketika dihubungi.

Noor Mushar berkata, hasil keterangan daripada empat lagi mangsa mendapati seorang daripadanya menjadi mangsa liwat secara berulang-kali sejak awal April lalu dan suspek juga sering meminta kesemua mangsa memeluk dan mencium mulut selain melakukan seks oral.

"Suspek meliwat mangsa yang berusia 15 dan sembilan tahun, manakala selebihnya dipaksa melakukan seks oral.

"Polis sudah mengambil keterangan semua mangsa dan Pol 59 iaitu arahan untuk dapatkan pemeriksaan kesihatan mangsa di hospital sudah dikeluarkan terhadap kedua mangsa.

"Pihak polis kini sedang berusaha menahan suspek dipercayai berusia lingkungan 30-an secepat mungkin bagi membantu siasatan," katanya.

Mushar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 10:17 PM