LELAKI cina berusia 31 tahun cuba membunuh diri dan sempat meninggalkan nota (gam bar kecil) berhubung tindakannnya itu. FOTO IHSAN PDRM
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hemtro.com


“MALAM ini saya akan gantung diri... Pohon kebenaran tuhan supaya selepas tujuh hari saya meninggal dunia, balik untuk balas dendam orang itu,” itu nota sempat ditulis seorang lelaki yang cuba membunuh diri dengan menggantung lehernya pada getah paip yang diikat di siling.

Bagaimanapun, dalam kejadian 8.15 malam, lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa itu masih panjang umur apabila dia berjaya diselamatkan rakan dan ibunya yang tiba di rumah terbabit di Mukim 13, Sungai Dua Gelugor di Georgetown, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, ibu lelaki terbabit pada mulanya memberitahu rakan anaknya supaya melihat keadaan mangsa yang sebelum itu mengatakan mahu membunuh diri.

Menurutnya, rakannya itu bergegas ke rumah mangsa dan dia hanya mampu melihat melalui celah pintu kerana ia berkunci.

“Ketika itu, rakan lelaki terbabit melihat mangsa sudah naik atas kerusi dan menggantung leher pada paip yang diikat di siling.

“Bagaimanapun, mangsa terjatuh ke lantai dan rakannya kemudian menghubungi ibu lelaki terbabit memaklumkan kejadian,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Che Zaimani berkata, ibu mangsa yang tiba ke rumah membuka kunci pintu dan melihat anaknya itu masih sedar dengan mata terbuka, namun tidak boleh bercakap.

“Mangsa dibawa ke hospital dan hasil keterangan awal dia mendakwa cuba bunuh diri kerana tuhan tidak menolong bapanya yang juga seorang sami dan penjaga tokong.

“Dia mendakwa kecewa kerana bapanya itu kini terlantar di hospital akibat angin ahmar sejak seminggu lalu,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, ibu mangsa berang dengan kejadian itu kerana dia mengatakan anaknya sengaja cuba bunuh diri untuk menarik perhatian dan mendapatkan wang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 8:25 PM