ANGGOTA polis membawa turun mayat Chan (gambar kecil) dari helikopter sebelum dihantar ke Hospital Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


SEORANG daripada lima pemancing yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Tenggol, Dungun, semalam, ditemui meninggal dunia, tengah hari ini.

Mangsa maut itu dikenali sebagai Chan Kai Wai, 51, manakala seorang lagi iaitu Chong Yuen Khang, 36, masih hilang.

Tiga yang terselamat adalah Choo Yaw Wu, 48; Lok Win Thye, 28; dan warga Singapura, Tan Buck Choon, 51.

Mayat mangsa ditemui pada 1 tengah hari bersama tiga rakannya yang selamat dan berpaut pada boya keselamatan pada jarak 30 batu nautika di timur Kerteh.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan tugasan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) pada 11.45 malam tadi.

“Operasi membabitkan tiga helikopter iaitu satu AW 139 dan dua Dauphin AS365N3 digerakkan ke lokasi pencarian iaitu seluas 170 batu persegi awal pagi bersama sebuah kapal ronda maritim KM Nusa selain turut membabitkan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan dan Persatuan Nelayan Kawasan Dungun.

“Empat mangsa ditemui helikopter berpaut di boya pada kedudukan 30 batu nautika timur Kerteh iaitu kira-kira 15 batu nautika dari lokasi bot dilaporkan karam,” katanya pada sidang media di APMM Chukai, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia diikat pada boya bagi mengelak dia tenggelam atau hanyut.

Menurutnya, tiga lagi mangsa yang selamat berada dalam keadaan letih dan kekurangan air, namun stabil.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat manakala tiga yang selamat dibawa ke Hospital Kemaman.

“Ketika ini, operasi CARILAMAT seorang lagi mangsa giat dijalankan membabitkan 90 pegawai dan anggota terdiri APMM, PPM dan nelayan.

“Hasil maklumat, mangsa yang masih hilang mungkin tenggelam bersama bot,” katanya.

Dalam pada itu, Rashidilhadi berkata, pihaknya turut menasihatkan orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan.

Beliau berkata, mereka diharap dapat memaklumkan lokasi dituju kepada keluarga dan rakan bagi membantu menyelamatkan nyawa dan mempercepatkan kerja CARILAMAT apabila berlaku kecemasan di laut.

Dalam kejadian 1 pagi semalam, bot dinaiki lima mangsa bersama seorang tekong dan dua awak-awak karam selepas dibadai ribut dan ombak besar.

Tekong terbabit, Erwan Nordin, 39, bersama dua pembantunya, Baharudin Jusoh, 52, dan Mohamad Zulkifli Isnain, 26, diselamatkan nelayan pada 5.30 petang semalam manakala lima pemancing berkenaan terpisah dan hilang akibat ombak kuat.

Berita berkaitan

'15 jam bertarung nyawa di laut'

'5 pemancing dikhuatiri lemas'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 6:58 PM