Erwan (kanan) bersama Mohamad Zulkifli dan Baharudin memberi keterangan kepada Asisten Superintendan Kamarul Mohamed Salleh (kiri) ketika membuat laporan di IPD Dungun. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


SEORANG tekong bot bersama dua pembantunya bertarung nyawa lebih 15 jam sebelum mereka diselamatkan nelayan lain selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Tenggol, Dungun, awal pagi semalam.

Erwan Nordin, 39, berkata, dia bersama dua pembantunya, Baharudin Jusoh, 52, dan Mohamad Zulkifli Isnain, 26, diselamatkan pada 5.30 petang semalam.

Menurutnya, mereka bertiga dari jeti Kampung Sungai Buaya, Dungun membawa lima pemancing berbangsa Cina dan keluar ke laut pada 10 pagi Selasa lalu.

“Saya tak kenal semuanya, kecuali seorang dikenali sebagai Ong yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang dan selepas tiba di kawasan Pulau Tenggol, kami mula memancing.

“Kami memancing dengan bergerak perlahan-lahan sehingga 7 malam sebelum melabuhkan sauh dan berehat, ” katanya.

Beliau berkata, pada 1 pagi semalam, secara tiba-tiba bot mereka dibadai ribut dan ombak besar sebelum tenggelam.

“Sebelum tenggelam saya arahkan mereka terjun ke laut sambil masing-masing memegang pelampung keselamatan.

“Ketika di dalam air saya, Baharudin dan Zulkifli memegang erat pelampung dan ketika itu saya nampak empat pemancing itu turut bersama manakala seorang lagi tidak kelihatan,” katanya.

Menurutnya, keadaan ombak kuat ketika itu menyebabkan mereka bertiga terpisah daripada kumpulan pemancing itu.

“Sepanjang lebih 15 jam bergayut pada pelampung dan papan ‘plywood’ menyebabkan badan saya melecur akibat geseran.

“Sepanjang hanyut kami mengalas perut dengan meminum air laut yang masin sambil berdoa supaya kami ditemui nelayan lain, ” katanya.

Beliau berkata, sebaik diselamatkan sebuah bot nelayan, mereka bertiga meminta tekong bot terbabit segera menjalankan kerja mencari dan menyelamat lima mangsa masih hilang.

“Sepanjang pencarian itu, kami gagal menemui semua mangsa sehinggalah saya meminta tekong bot penyelamat kami menghubungi pihak berkuasa.

“Saya tidak putus-putus berdoa supaya semua mereka selamat dan saya percaya mereka selamat memandangkan dilengkapi pelampung keselamatan, ” katanya.

Erwan berkata, dia dan dua pembantunya itu selamat sampai di jeti Kuala Dungun pada 3 pagi hari ini sebelum datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan membuat laporan pada 10.30 pagi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

Berita berkaitan

'5 pemancing dikhuatiri lemas'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 6:20 PM