Derma orang ramai digunakan untuk membiayai kos pembedahan Ainul Mardhiah. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


DALAM menghadapi dugaan bayi perempuan yang menghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’, bapa bayi itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, memberitahu dia dan keluarga tidak pernah melancarkan tabung namun setiap derma daripada orang ramai akan digunakan sepenuhnya untuk membiayai kos pembedahan Ainul Mardhiah, lapan bulan.

Dengan anggaran kos pembedahan bayi itu di United Kingdom (UK) mencecah RM1 juta, Ahmad Safiuddin berkata, dia yakin inisiatif orang ramai yang prihatin, diyakini dapat mencapai jumlah diinginkan.

“Sehingga hari ini, kami tidak pernah melancarkan sebarang tabung, sebaliknya tabung kutipan yang ada dilakukan masyarakat prihatin terhadap Ainul Mardhiah.

“Kami tidak pernah meminta sebarang bantuan sebelum ini, tapi masyarakat ikhlas hendak beri serta membantu kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, sekumpulan pakar dari UK sedia melakukan pembedahan ke atas Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta.

Ahmad Safiuddin sebelum ini dilaporkan berkata, dia dan isteri Nurul Erwani Zaini, masing-masing 24, menerima pesanan mesej daripada Pakar Bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri menerusi aplikasi WhatsApp, supaya segera membawa anaknya menjalani imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Menurutnya, hasil laporan MRI itu akan dibincangkan Dr Nur Amalina bersama sekumpulan pakar di UK, bagi memutuskan prosedur terbaik untuk rawatan berkenaan.

Difahamkan, Ainul Mardhiah dijangka diterbangkan ke London untuk menjalani pembedahan di sebuah hospital di sana bagi membuang ketumbuhan dalam masa terdekat.

Dr Nur Amalina, rakyat Malaysia pertama terpilih menerima anugerah felo Darzi Academic Clinical Fellowship di Imperial College London, pernah mencatat sejarah dengan kejayaan meraih 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004.

Ditanya adakah sumbangan diterima mencukupi bagi membiayai kos pembedahan Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin berkata, dia berserah kepada Allah SWT dan keprihatinan masyarakat yang terus menyokong.

Ahmad Safiuddin berkata, setakat ini dia difahamkan kos pembedahan Ainul Mardhiah di UK perlu ditanggungnya sendiri.

“Buat masa sekarang Ainul sedang melalui satu prosedur MRI selama 45 minit sebagaimana diminta pasukan (pakar bedah) UK yang minta kami menghantar imbasan MRI kepada mereka.

“Selepas siap MRI, mereka di UK akan beri kata putus,” katanya.

Kepada sesiapa yang mahu menyumbang kepada Ainul Mardhiah boleh disalurkan ke akaun Maybank Ahmad Safiuddin Ahmad Razak 554-110-509-928.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 6:01 PM