Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


POLIS berjaya membawa naik kenderaan pacuan empat roda yang terhumban ke Sungai Prai dalam satu kejadian lemas, Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki yang bekerja sebagai jurujual dan memandu Toyota Hilux itu dipercayai terbabit dalam kemalangan sebelum kenderaannya terhumban ke dalam sungai berdekatan jambatan di Jalan Permatang Pauh dekat Ampang Jajar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa sebelum itu keluar pada 1 pagi untuk berjumpa rakannya di Bukit Mertajam dan tidak pulang ke rumah sehingga 5.30 pagi.


POLIS membawa naik kenderaan pacuan empat roda yang terhumban ke Sungai Prai dalam satu kejadian lemas, Sabtu lalu. FOTO ihsan polis.

“Isteri mangsa yang risau kemudian menghubungi rakan mangsa sebelum dimaklumkan mereka semua sudah pulang sejurus minum dan makan di Kampung Baru Bukit Mertajam.

“Susulan itu satu laporan polis dibuat isteri mangsa di Balai Polis Bukit Mertajam,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, keesokan harinya pada 3.02 petang Ahad, mayat mangsa dikenali sebagai Lim Sidney, 33, ditemui di Sungai Lokan, Butterworth.

Beliau berkata, isteri mangsa yang membuat pengecaman mayat mengesahkan ia adalah mayat suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 4:49 PM