Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menyerbu Pasar Borong Kuala Lumpur dan menahan 32 warga asing yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. FOTO ihsan JIM/
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


PASAR Borong Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan warga asing terutama warga Myanmar dan Bangladesh terus digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Terbaru, dalam serbuan 9 pagi semalam, pihak berkuasa itu menahan 32 pendatang tanpa izin (Pati) menerusi Ops Jaja.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pihaknya menyerbu tiga premis di pasar borong terbabit selepas mendapat maklumat dan risikan.

“Kami melakukan pemeriksaan terhadap 68 warga asing dan mendapati 32 daripada mereka yang berusia 20 hingga 48 tahun tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Tiga daripada mereka adalah wanita. Mengikut pecahan, seramai 21 tangkapan adalah warga Myanmar, diikuti sembilan warga Indonesia dan dua warga India,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dua warga tempatan yang berusia 38 dan 48 tahun yang disyaki majikan kepada Pati turut ditahan dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, operasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati Pati terbabit menyalahgunakan pas serta permit selain gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 2:06 PM