ORANG ramai mengambil bekalan air bersih yang disediakan berhampiran Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang. FOTO Saddam Yusoff
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


SEBAHAGIAN besar kawasan yang terjejas di Klang mula menerima bekalan air secara berperingkat sehingga petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, sebanyak 44 daripada 65 kawasan di Klang sudah mula pulih sehingga 4 petang hari ini.

Menurutnya, baki 21 kawasan yang terjejas dijangka menerima air mulai pagi esok dan gangguan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 24 jam lagi.

“Dua kolam takungan air di kawasan terjejas iaitu Kolam Takungan Air Lipat Kajang sudah mula beroperasi untuk mengagih air kepada pengguna di 45 lokasi, manakala Kolam Takungan Air Bukit Raja yang menampung 20 kawasan sedang dipenuhkan.

“Walaupun daripada pagi tadi ada berlaku sedikit pergerakan tanah di lokasi paip pecah itu tapi kita dapat uruskan dengan baik dengan mengambil langkah-langkah yang perlu maka bekalan air sedang mula pulih.

“Namun, kita tetap teruskan agihan air melalui lori tangki ke seluruh kawasan terbabit dan langkah ini dibuat melalui pusat khidmat setempat (PKS),” katanya kepada pemberita selepas meninjau PKS Taman Rakyat di Klang, hari ini.

Mengulas lanjut, Izham berkata, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan membina jajaran baharu paip berkapasiti 1,400 milimeter (mm) dan 900mm dengan melencongkannya daripada kedudukan asal bagi mengelakkan insiden berkenaan berulang.

Katanya, pembinaan jajaran paip baharu sepanjang 300 meter itu dijangka siap pada Jumaat, namun ia tidak akan menjejaskan agihan air yang sedang dilaksanakan untuk memulihkan gangguan bekalan yang berlaku sejak Sabtu itu.

“Bagi mengelakkan insiden sama berulang di lokasi lain, mana-mana pemaju lebuh raya boleh merujuk kepada Air Selangor untuk mendapatkan maklumat mengenai jajaran paip air terlebih dulu supaya ia tidak memberi kesan pada masa akan datang.

“Mengenai projek WCE (West Coast Expressway) pihak pemaju memberitahu yang mereka akan mengalihkan semua binaan sedia ada untuk mengkaji struktur tanah di situ memandangkan ia tanah jenis ‘marine clay’ sebelum mengambil tindakan berikutnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebar maklumat palsu mengatakan gangguan bekalan air yang menjejaskan hampir 800,000 pengguna di Klang akan berlarutan selama sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 7:54 PM