MOHD Sukri (kiri) memeriksa rokok belum lulus kastam yang didapati dijual di kedai runcit di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, Sungai Petani, hari ini. FOTO Nor Farhani Che Ad.
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


TINDAKAN seorang pekerja kedai runcit menyorokkan sejumlah rokok belum lulus cukai Kastam bertujuan bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila barangan terbabit ditemui di dalam stor kedainya.

Susulan itu, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sungai Petani selepas dipercayai memiliki barangan terbabit dalam serbuan di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, Sungai Petani, hari ini.

Ketua JKDM Daerah Sungai Petani, Mohd Sukri Jusoh berkata, lelaki itu didapati turut menjual minuman keras tanpa lesen di premis berkenaan.

“Serbuan dilakukan selepas kami menjalankan risikan beberapa hari dan dipercayai kegiatan ini dijalankan sejak lima bulan lalu.

“Ketika serbuan dilakukan, pekerja kedai itu dilihat sedang membawa keluar rokok berkenaan dari kedai untuk disorokkan, bagaimanapun selepas pemeriksaan diadakan kami mendapati barangan itu berada di dalam stor kedai,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Sukri berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 1,200 batang rokok putih dan 160 batang rokok kretek bernilai RM176.40 dengan cukai dianggarkan RM777.17.

Beliau berkata, turut dirampas 12 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai RM252 membabitkan cukai berjumlah RM172.28.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 35 Akta Eksais 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 6:06 PM