Sayuti (kiri) dan Arulldass pada sesi pendengaran awam RCI hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


“SAYA langkah saja kawat berduri yang memisahkan Thailand dan Malaysia,” kata jurugambar akhbar Malay Mail Mohd Sayuti Zainudin.

Dia yang juga saksi ke-22 prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem dan kubur di Wang Kelian, Perlis berkata, kawat berduri itu setinggi paras paha dan pinggangnya membolehkannya melangkah mudah untuk memasuki sempadan Malaysia.

Dia yang menaiki Bukit Genting Perah, Perlis melalui Thailand bersama wartawan Malay Mail, S Arulldas, 64, dipandu arah oleh dua warga Thailand menuju ke lokasi kem penempatan sementara pendatang haram yang dikatakan terletak di hutan sempadan Malaysia-Thailand, menemui ‘pagar sempadan’ itu selepas berjalan hampir sejam merentasi hutan.

“Kami bermula di Ban Talo, Thailand pada 13 Mei 2015 sebelum jumpa kawat berduri, batu sempadan di sebelah lain. Kami masuk dari sana kerana lebih mudah lakukannya berbanding dari laluan sebelah Malaysia,” katanya di Putrajaya hari ini.

Mohd Sayuti berkata, dalam tempoh hampir dua jam berjalan mereka kemudian ternampak sungai dipercayai digunakan pendatang asing sebelum berjumpa kem penempatan sementara di Genting Perah itu.

“Kami juga menemui lebih dari lima kubur,” katanya.

Pengerusi RCI Tun Arifin Zakaria kemudian bertanya bagaimana dia mengetahui itu adalah kubur, Mohd Sayuti berkata, timbunan tanah itu sememangnya kubur berdasarkan fizikalnya dan ditutup dengan pelepah daun.

“Memang kubur, ia kubur satu-satu bukan kubur besar tapi banyak kubur, lebih dari lima,” katanya.

Terdahulu Arulldas, 64, yang juga saksi ke-21 memberitahu panel RCI, dia mula mengetahui kononnya terdapat kubur besar ketika minum di kedai kopi di Jitra.

“Pada 6 Mac 2015, saya terdengar orang di sebelah meja saya bercakap mengenai kubur besar, jadi saya tanya dia lanjut tapi lelaki itu enggan cerita apa-apa, dia minta saya cari sendiri dan saya terus ke Wang Kelian ,” katanya.

Dia pada masa itu bertugas di Biro Pulau Pinang dan menulis laporan penemuan mayat pendatang Rohingya di negeri berkenaan pada 2014.

Panel lain prosiding berkenaan ialah Timbalan Pengerusi RCI yang juga bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai.

Ahli lain ialah bekas Ketua Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail dan bekas Ketua Penyelidik, Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abdul Rahman.

Selain itu panel RCI ialah bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.

Pegawai Pengendali RCI ialah Saiful Hazmi Mohd Saad dan Khairul Anuar Abd Halim.

SAIFUL HAZMI: Sebelum itu sudah ditemui kem di Bukit Wang Burma pada Januari?

ARULLDAS: Ya betul. Pada 6 Mac 2015 di Wang Kelian saya tak bertanya banyak kerana bimbang salah tanya. Sehari lepas itu saya balik ke Pulau Pinang dan maklumkan kepada ketua saya berkaitan kem dan kubur besar tapi saya tak dibenarkan menulisnya kerana tiada bukti, lagi pun babitkan dua negara dan soal keselamatan.

Sehinggalah pada 30 April 2015 apabila pihak berkuasa Thailand mendedahkan penemuan kubur besar di hutan sempadan.

Pengarang hubungi saya kerana pada masa itu saya membuat liputan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dan mengarahkan saya ke Thailand membuat liputan kes itu.

Saya ke Padang Besar, Perlis kerana saya sangka ia berlaku di situ tetapi sebenarnya di Padang Besar sebelah Thailand dan saya terus ke sana pada 2 Mei 2015 dan saya berjaya temuramah mangsa orang Myanmar.

Pada masa sama saya terpaksa berdepan dengan pihak berkuasa Thailand yang banyak bertanya kepada saya, siapa saya, kenapa saya berada di situ tapi saya tidak beritahu mereka bahawa saya wartawan.

Petang itu juga saya keluar dari Padang Besar dan kembali ke Pulau Pinang dan malam itu juga saya hantar berita berkaitan kubur besar terbabit.

Tapi antara Mac dan Mei, saya kembali ke Wang Kelian lima hingga enam kali bersendirian mencari kubur itu tapi tak jumpa apa-apa kerana di bukit itu semua bahagian nampak sama saja.

Saya enggan bertanya sesuka hati kerana bimbang mereka juga anggota sindiket dan pada 6 Mei 2015 apabila Mohd Sayuti datang sekali, kami berjumpa renjer hutan dan ada maklumkan terdapat ambulans dan polis datang ke situ dan itu meyakinkan saya ada sesuatu di atas bukit itu.

KHAIRUL ANUAR: Apabila anda menulis berita berkaitan kubur besar, apa yang anda faham mengenainya?

ARULLDAS: Saya ada dengar mengenai kubur besar, maknanya ramai yang terbunuh dan dikuburkan bersama.

KHAIRUL ANUAR: Disebabkan polis sudah menemui dulu kubur itu pada Januari dan memberitahu hanya satu kubur dan satu mayat. Pada masa itu tiada kubur besar. ARULLDAS: Itu adalah pihak berkuasa untuk mengenal pasti kawasan itu sebagai kubur besar sebab pihak berkuasa Thailand pun guna perkataan sama.

ARIFIN: Kita jumpa Januari, Thailand pada April. Jadi bila sebenarnya penemuan itu dimaklumkan?

ARULLDAS: Saya masuk ke kawasan itu pada 13 Mei 2015 melalui Thailand. Saya cuba beberapa kali melalui Wang Kelian tapi gagal dan tak sanggup masuk berseorangan.

Kemudian pada 9 Mei 2015, Thailand menyelamatkan 200 hingga 300 pendatang Myanmar dan Bangladesh di sebuah kampung dekat sempadan Malaysia dan ketika sidang akhbar di sebelah Thailand oleh Timbalan Ketua Polis Thailand, mereka mendapat maklumat ada pergerakan di kawasan itu dan mereka ke lokasi itu menggunakan helikopter manakala saya memandu. Apabila tiba jam 7 petang di Rattapon dekat Padang Besar, saya nampak ratusan pendatang.

Esoknya saya mengikuti operasi tentera Thailand dengan kekuatan 120 anggota menyerbu kem penempatan sementara terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 5:41 PM