KAKITANGAN MAMBS Ladang, Kuala Terengganu menunjukkan pakaian serta tudung disumbang orang ramai melalui Program ‘Pre Loved Give and Infaq’. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
AhmadRabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


MENYELAMI kesempitan dan keperluan segelintir masyarakat kurang berkemampuan di Terengganu mendorong pengurusan Masjid Al-Muktafi Billah Shah (MAMBS) Ladang, Kuala Terengganu menyediakan satu ruangan pakaian terpakai untuk disedekahkan kepada orang ramai yang memerlukan.

Program ‘Pre Loved Give and Infaq’ dianjurkan sejak Oktober tahun lalu itu memberi manfaat kepada individu yang memerlukan selain membuka peluang kepada masyarakat berkemampuan untuk menghulurkan sumbangan sepanjang Ramadan.

Bendahari MAMBS, Mariati Awang Chik berkata, pihaknya mengalukan-alukan orang ramai meletakkan pakaian di ruangan itu untuk disedekahkan kepada golongan memerlukan.

“Kami menerima pelbagai jenis pakaian termasuk baju kurung, tudung, baju Melayu, baju sekolah dan kasut, tetapi tidak semua barang diterima itu terus di letakkan di ruangan itu bagi diberikan kepada orang memerlukan.

“MAMBS menerima semua pakaian terpakai diserahkan, tetapi kami akan memeriksa terlebih dahulu sebelum mengasingkan pakaian masih elok untuk diletakkan di ruangan itu,” katanya ketika ditemui di MAMBS, hari ini.

Menurutnya, semua pakaian diletakkan di ruangan itu bebas untuk diambil golongan memerlukan dan pada masa sama mereka boleh memberi sumbangan menerusi satu tabung yang disediakan di ruangan berkenaan.

Katanya, orang ramai yang mengambil pakaian itu boleh menyalurkan sumbangan kepada MAMBS seikhlas hati dan ia akan digunakan untuk membiayai pelbagai keperluan dan aktiviti yang dijalankan masjid.

“Sehingga Januari lalu, kami sudah memperoleh wang tunai RM800 hasil sumbangan orang ramai melalui program itu.

“Kekurangan sukarelawan untuk melancarkan proses memilih dan mengasingkan pakaian terpakai disumbangkan menyebabkan masih banyak pakaian tidak dapat diletakkan di ruangan itu.

“Kami berharap program ini dapat membantu golongan memerlukan, bukan sahaja pakaian terpakai diletakkan di situ tetapi pakaian baru turut disumbangkan untuk tujuan amal berkenaan,” katanya.

Hamdillah Abd Rahman, 40, dari Kampung Batu Buruk berkata, program itu memberi manfaat kepada orang yang memerlukan dan pihak MAMBS.

Katanya, semua pihak berpeluang untuk menyalurkan sumbangan apabila MAMBS menganjurkan program seperti ini dan ia secara tidak langsung membudayakan amalan bersedekah serta membantu golongan memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 5:32 PM