FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

SEORANG wanita bergelar Datin didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini, atas tuduhan mengugut mahu menghantar samseng untuk memukul dan menyimbah asid ke muka doktor peribadi suaminya di sebuah rumah di Subang Jaya, bulan lalu.

Bagaimanapun, Datin B Jaysintha, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Wanita itu dilihat tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap doktor fisioterapi wanita yang berusia 40 tahun dengan mengugut akan menghantar gengster untuk memukul mangsa selain mengancam mahu menyimbah asid ke mukanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan USJ 3D/6, Subang Jaya pada 29 April jam 10 malam.

Pertuduhan terhadapnya itu dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Dalam rayuan, tertuduh merayu supaya jaminan rendah diberikan sebelum mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mendekati mangsa.

Difahamkan, mangsa adalah doktor peribadi yang merawat suaminya di rumah, namun perselisihan faham terjadi hingga tertuduh mengugut untuk mencederakan doktor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 3:25 PM