Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


TINDAKAN kompaun akan dikenakan terhadap peniaga di pasar dan bazar Ramadan jika gagal mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) seperti mempamerkan tanda harga barang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Melaka Muhammad Aizudin Mohd Said berkata, amaran keras itu dibuat bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan.

“Kepada semua peniaga pasar dan bazar Ramadan, saya cuma mahu ingatkan wajib letak tanda harga atau tindakan kompaun dikenakan.

“Kami tidak lagi akan mengeluarkan amaran,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu Pemantauan Harga Barang di Pasar Alor Gajah, hari ini.

Operasi itu turut disertai pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Muhammad Aizudin berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima aduan berkaitan harga barangan dan makanan melampau dijual di pasar dan bazar Ramadan.

Menurutnya, operasi bersepadu di Pasar Alor Gajah bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari itu menyaksikan 55 premis diperiksa 32 pegawai dan penguat kuasa tiga agensi terbabit.

Katanya, pihaknya tidak mengesan sebarang kenaikan harga barang keperluan malah terdapat penurunan harga ayam daripada RM7.80 satu kilogram (kg) kepada RM7.40 satu kg.

“Semua harga barang pada paras munasabah, namun kita ada ambil tindakan kompaun RM200 terhadap satu peniaga yang gagal meletakkan tanda harga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 2:17 PM
MUHAMMAD Aizudin (kiri) memeriksa senarai harga. FOTO Khairunisah Lokman.