Ribut menyebabkan pokok tumbang menghempap kenderaan di Jalan Tanjung Rhu. FOTO ihsan APM
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


RIBUT yang melanda Langkawi malam tadi menyebabkan rumah dan kenderaan penduduk di beberapa kawasan rosak dihempap pokok tumbang.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, kawasan yang teruk terjejas ialah Kampung Ranggut, Mukim Padang Matsirat dan Jalan Tanjung Rhu, Mukim Ayer Hangat.

Pegawai Bencana Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 11.35 malam.

“Kami menerima panggilan kecemasan daripada MERS 999 memaklumkan terdapat pokok tumbang menimpa bumbung rumah dan kenderaan milik penduduk akibat ribut.

“Empat anggota APM dikerahkan ke lokasi kejadian di Jalan Tanjung Rhu untuk bantuan kecemasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azamshah berkata, bumbung beberapa rumah dan tiga kereta serta sebuah motosikal rosak dihempap pokok tumbang.

Katanya, operasi pembersihan pokok tumbang di kawasan terbabit tamat pada jam 1.52 pagi ini.

Sementara itu, tinjauan mendapati anggota bomba dan orang awam turut memberikan bantuan kecemasan kepada penduduk ditimpa bencana itu beberapa kampung dalam Mukim Padang Matsirat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 10:35 AM