NUR Alia Natasha menerima sumbangan. FOTO Nazri Abu Bakar.
Nazri Abu Bakar
cnews@nstp.com.my


Gadis ini teruja menyambut Ramadan pertamanya selepas memeluk Islam, malah dia mengucapkan dua kalimah syahadah kerana seronok mendengar laungan azan sejak kecil lagi.

Meskipun mengharungi hari memenatkan Nur Alia Natasha, 21, berkata, sokongan rakan-rakan kolej menguatkan semangat untuk terus berpuasa.

Menurutnya, sikap prihatin Persatuan Cina Muslim Malaysia Melaka (MACMA) turut memberi kekuatan buatnya untuk terus cekal menghadapi cabaran berpuasa.

Baginya yang pertama kali tidak makan dan minum pada siang hari, ia menjadi detik memeritkan biarpun pernah cuba untuk berpuasa sebelum bergelar wanita Muslim.

“Memang benarlah saat berbuka adalah waktu paling menggembirakan selepas seharian berpuasa, sukar nak saya luahkan.

“Berbuka memberi nikmat yang tidak terhingga selepas seharian menahan lapar dan dahaga.

“Saya tertarik dengan Islam berikutan seronok mendengar azan sejak kecil selain ada ramai rakan Muslim,” katanya.

Penuntut sebuah kolej perubatan di Kuala Lumpur ini berkata, demikian selepas menerima sumbangan keperluan sempena Ramadan daripada MACMA di Bukit Palah, Melaka, semalam,

Sumbangan disampaikan Setiausaha MACMA Nur Caren Chung, turut hadir ibu angkatnya Noriah Mohd, 57.

Nur Alia Natasha berkata, keluarga angkatnya dari Kampung Kandang, banyak membantunya mengenal Islam, belajar mengenai cara menunaikan solat dan membaca al-Quran.

Anak sulung daripada lima beradik berasal dari Sibu, Sarawak itu berkata, ibunya tidak keberatan memberi kebenaran untuknya memeluk Islam.

“Bapa saya juga akur dengan keputusan ini meskipun pada awalnya dia kurang bersetuju. Meskipun selepas bergelar wanita Muslim hubungan kami masih rapat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 2:46 PM