Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


KERAJAAN Amerika Syarikat sudah membuat pembayaran pertama berjumlah RM236 juta (AS Dolar 57,036,588.68) hasil daripada penyitaan syarikat pembikinan filem Red Granite Pictures yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan anak tirinya, Riza Aziz.

Peguam Negara Tommy Thomas dalam kenyataannya hari ini mengesahkah bahawa ia adalah wang yang diperoleh semula, hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1Malaysia Developmnet Berhad (1MDB).

“Dengan sukacitanya Kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa Kerajaan Amerika Syarikat sudah menghantar pulang dan akan memulangkan sejumlah besar wang ke Malaysia. Ia sudah dikreditkan ke dalam akaun pemulihan 1MDB.

“Ia adalah pembayaran pertama bagi dana yang diperoleh semula hasil penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat,” katanya.

Menurutnya, jumlah yang disita itu adalah daripada Red Granite Pictures iaitu syarikat pembikinan filem yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

“Syarikat itu dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan anak tirinya Riza Aziz serta lanjutan daripada penyelesaian sebanyak RM248,856,000 juta (AS Dolar 60 juta) yang direkodkan di Mahkamah California.

“Sejumlah RM12 juta (AS Dolar 3 juta) ditolak untuk membayar semula kos yang dibelanjakan oleh DOJ dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk menyiasat, menyita dan mencapai penyelesaian untuk dana Red Granite,” katanya.

Tambah Tommy, termasuk dalam penolakan itu adalah kos yang dibelanjakan oleh DOJ dan FBI untuk menyiasat, menyita dan memelihara kapal layar mewah, Equanimity ketika ia ditahan di perairan Indonesia.

Menurut Tommy, DOJ kini dalam proses untuk menghantar pulang sejumlah RM 576 juta (AS Dolar 139 juta) wang yang diperoleh hasil daripada jualan kepentingan milik ahli perniagaan Jho Low dalam Hotel Park Lane di Manhattan.

“Semua kos yang dibelanjakan oleh DOJ dan FBI untuk menyiasat, menyita, membicarakan dan mencapai penyelesaian bagi aset Park Lane ini akan ditolak daripada wang penyelesaian itu dan bakinya dijangka akan dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB dalam masa terdekat.

“Oleh itu, Malaysia sudah mendapatkan semula AS Dolar 322 juta (kira-kira RM1.3 bilion) nilaian daripada aset 1MDD sejak siasatan bermula secara efektifnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018,” katanya.

Tommy berkata, sejumlah SG Dolar 50 juta (RM152,215,240.88 juta) daripada dana berkaitan dengan 1MDB sudah diarahkan oleh Mahkamah Singapura untuk dihantar pulang.

“Sejumlah SG Dolar 15 juta (RM45,668,50.71 juta) sudah dikreditkan ke dalam akaun aset pemulihan 1MDB antara September tahun lalu hingga Mac tahun ini. Baki sebanyak SG Dolar 35 (RM106 juta) akan dikreditkan tidak lama lagi.

“Pemulihan aset ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa bantuan dan kerjasama baik oleh pihak berkuasa Malaysia dengan rakan sejawat di Amerika Syarikat dan Singapura. Usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan dan Malaysia yakin akan lebih banyak wang bakal diperoleh semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 2:19 PM