Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


POLIS menahan pemandu Proton Wira warga Thailand yang menyebabkan kematian tiga beranak di Jalan Machang-Tanah Merah-Jeli di Kampung Nibong di Tanah Merah, hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, Nur Zurita Kadir, 27, dan dua anaknya Siti Husna Qaisara Adnan, 4, dan Muhammad Adam Mukhriz, 5, maut di tempat kejadian.

Mayat dibawa ke Hospital Tanah Merah.

Dalam kejadian itu, Proton Wira yang dinaiki suspek terbabas sebelum merempuh motosikal yang dinaiki mangsa dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, suspek berusia 25 tahun yang cedera ditahan bersama 150 kilogram ketum ditemui di dalam but kereta.

“Siasatan mendapati ketika kejadian, suspek dipercayai mengantuk atau di bawah pengaruh dadah. Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampetamine.

“Siasatan awal mendapati suspek dalam perjalanan ke Tanah Merah selepas mengambil bekalan ketum.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah berhampiran.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak sejauh lima meter dari lokasi kejadian ke semak berhampiran.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan brek sejauh 50 meter,” katanya.

Berita berkaitan

Tragedi hantar anak sekolah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 1:55 PM
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.