Anggota bomba memotong cincin keluli yang melekat pada jari telunjuk kiri seorang lelaki. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip
cnews@nstp.com.my


LELAKI terpaksa menanggung kesakitan lebih 12 jam apabila cincin keluli yang dipakai di jari telunjuk kirinya gagal dikeluarkan semalam.

Mangsa berusia 26 tahun itu dikatakan berusaha membuka cincin itu sejak petang semalam namun usahanya bukan saja gagal malah jarinya turut membengkak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya bergegas ke Unit Kecemasan Hospital Sarikei sejurus menerima panggilan 4.36 pagi tadi.

“Sebaik menerima panggilan itu, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mijan Pamin dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi anggota kami mendapati cincin itu masih melekat di jari telunjuk mangsa manakala satu lagi cincin di ibu jari berjaya dikeluarkannya sendiri,” katanya.

Mahmudin berkata, jari telunjuk mangsa didapati sedikit bengkak dipercayai kesan cubaannya untuk mengeluarkan cincin itu.

“Anggota kami menggunakan peralatan khas untuk memotong cincin itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 1:28 PM