Tuan Asri Tuan Hussein
asri_hussein@hmetro.com.my


PENDUDUK Palestin di Semenanjung Gaza menerima berita melegakan hari ini, apabila pemerintah mereka dan kerajaan Israel bersetuju menghentikan serangan yang berlarutan sepanjang Sabtu dan Ahad.

Bagaimanapun bagi yang menjadi mangsa serangan Israel penderitaan mereka baru bermula selepas rumah yang dihuni kini ranap menyembah bumi.

Lebih menyedihkan kejadian berlaku pada malam satu Ramadan ketika semua umat Islam bersiap sedia untuk menjalani ibadah puasa.

Bagi seorang gadis berusia 16 tahun yang mahu dikenali sebagai Sandoss, dia tidak dapat membayangkan bagaimana keluarganya mahu meneruskan kehidupan selepas ini selepas rumah mereka di Tal Al-Hawa di tengah bandar Gaza musnah dibedil Israel pada Ahad malam.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam ketika dia mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan keesokan hari manakala ibunya berada di dapur bagi memasak dan menyiapkan juadah sahur.

“Tiba-tiba ibu mengarahkan kami semua keluar rumah selepas menyedari kehadiran roket kecil Israel yang menjadi isyarat awal tempat kami akan diserang.

“Dalam tempoh lima minit selepas semua penduduk lari menyelamatkan diri, letupan kuat berlaku dan bangunan yang kami duduki musnah sama sekali,” katanya.


WANITA dan beberapa kanak-kanak mencari sisa barangan yang terselamat akibat serangan rejim Israel. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein

Sandoss berkata, bangunan dibom itu setinggi lapan tingkat dan ia menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 30 keluarga membabitkan 200 orang.

Memang menjadi kebiasaan Israel akan memberi isyarat awal di sasaran yang bakal dibedil dan penduduk mempunyai masa antara tiga hingga lima minit untuk menyelamatkan diri.

Sehubungan itu, tiada kecederaan dan kematian berlaku biarpun bangunan tempat tinggal dihuni Sandoss dan keluarganya musnah sama sekali.

Sementara itu, agensi berita melaporkan pemimpin Palestin di Gaza bersetuju mengadakan gencatan senjata dengan Israel pagi ini, sekali gus menamatkan aktiviti berbalas serangan yang bermula sejak Jumaat malam.

Setakat ini angka rasmi Kementerian Kesihatan Palestin menyatakan seramai 25 penduduk Palestin meninggal dunia dan 154 cedera dengan mangsa terbaru termasuk bayi berusia empat bulan, Maria Al-Ghazali.

Penulis bersama 40 lagi peserta misi kemanusiaan Miles of Smiles yang berada di Gaza sejak Jumaat lalu turut lega kerana kami dibenarkan keluar daripada hotel selepas tidak dibenarkan berbuat demikian sepanjang Sabtu dan Ahad.

Penulis bersama Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan dan timbalannya, Johari Ismail berkesempatan meninjau sekitar pusat bandar untuk melihat kemusnahan yang berlaku akibat siri pengeboman sepanjang dua hari lalu.

Apa yang menyedihkan ialah kedai, pejabat dan rumah orang awam turut menjadi sasaran bom Israel, selain premis disyaki mempunyai hubungan dengan Hamas.

Ia termasuk sebuah gedung pakaian setinggi enam tingkat dan ia dikatakan menjadi sasaran kerana Israel turut bermatlamat melemahkan aktiviti ekonomi penduduk Gaza selain menambahkan tekanan sedia ada.


ZULKIFLI (kiri) dan Johari (kanan) bersama wakil mereka di Gaza memegang poster memohon bantuan orang ramai membantu rakyat Palestin. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein

Orang ramai boleh membantu rakyat Palestin dengan menyumbang kepada Tabung Misi Khas ke Gaza sempena Ramadan 1440H yang ditubuhkan Muslim Care Malaysia melalui nombor akaun Maybank (564490413882); CIMB (14014010147470) dan Bank Muamalat (14010007654717).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 8:15 PM
KEADAAN sebuah bangunan yang runtuh akibat diserang rejim Israel. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein