ANGGOTA polis membawa mayat pekerja buruh binaan yang maut ditimpa batu penyokong rumah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


BURUH binaan warga Indonesia maut dihempap batu sokongan di sebuah projek perumahan di Lukut, Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa, Sinaga Sastro Verhan, 25, maut di lokasi akibat parah di kepala serta badan.

Katanya, pengawal keselamatan di tapak projek menghubungi pihaknya memaklumkan berlaku kemalangan di tempat kerja jam 2 petang.

“Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa yang berasal dari Medan, Indonesia parah di badan serta kepala. Pasukan perubatan yang turut tiba mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Aidi Sham berkata, rakan mangsa memberitahu lelaki itu meninggal dunia akibat dihempap batu sokongan (beam rumah).

“Pemeriksaan pada mayat tidak menampakkan sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

“Buat masa ini polis masih menjalankan siasatan bagaimana kejadian itu boleh berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 5:48 PM