Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


“DALAM perbualan bersama dua beradik ini, mereka beritahu mahu menjadi doktor. Saya sedih melihat kehidupan mereka dan akan membantu sedaya yang mampu,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menziarahi enam beradik di Kampung Legong, Ulu Kota, Rembau yang kematian ibu, Nor Amira Sahran, 35, pada 25 April lalu.

Aminuddin berkata, cita-cita itu diluahkan Nor Aina Syazwani Mohd Fauzi, 10 dan Nor Aina Syazlina, 9 dalam kunjungannya ke rumah ibu saudara mereka, Nor Azila Sahran, 37, hari ini.

Katanya, beliau mengerti kesusahan dialami enam beradik terbabit dan sebagai anak sulung, Aiman Syazwan, 12 perlu memikul tanggungjawab menjaga semua adiknya termasuk Nor Aina Syazlin, 7; Nor Aina Syazliana, 5; dan Mohd Aiman Syazrizal, 18 bulan.

“Sebagai Menteri Besar, saya akan memastikan masa depan mereka terjaga. Selain kerajaan membantu, ibu saudara dan penduduk kampung diharap mengambil tahu masalah anak yatim ini,” katanya.

Menurut Aminuddin, enam beradik itu kini dalam jagaan ibu saudara dan suaminya, Mohamad Abdul Rani, 37.

Katanya lagi, empat daripada enam beradik yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min, Lubok China akan dipindahkan ke kawasan lebih dekat dengan diuruskan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).

“Mereka akan menerima bantuan persekolahan RM200 sebulan, Rancangan Makanan Tambahan (RMT), bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM450 sebulan dan Baitulmal RM300 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang memikirkan untuk mengubahsuai kediaman usang milik Nor Amira beserta beberapa bantuan tambahan.

“Selain bertanggungjawab menjaga enam anak saudara, Nor Amira juga memiliki enam anak sendiri berusia dua hingga 18 tahun,” katanya.

Metro Ahad pada hari ini melaporkan Ramadan yang bakal tiba esok tidak lagi meriah bagi enam beradik terbabit apabila ibu kesayangan meninggal dunia dalam kemalangan motosikal di hadapan Ladang Sungai Baru, Kampoung Simen, Remba, 25 April lalu.

Lebih menyedihkan apabila arwah menanggung dan menguruskan kehidupan enam anaknya sebaik suaminya menjalani hukuman penjara.

Arwah bangun seawal 3 pagi untuk menjual nasi lemak selain bekerja sebagai pekerja pembersihan untuk kehidupan semua anaknya.

Berita berkaitan:

  • Dulu mama sedia semua
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 7:27 PM
    AMINUDDIN ketika lawatan ke kediaman enam beradik yang kehilangan ibunya selepas terbabit dalam kemalangan pada 25 April lalu di Kampung Legong Ulu Kota, Rembau. -Foto IQMAL HAQIM ROSMAN