BERNAMA

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Vivian Wong Shir Yee akan mendapat sokongan daripada pengundi di kawasan parlimen itu.

Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata Wong (Vivian), calon nombor tiga dalam PRK Sandakan akan menggantikan mendiang bapanya (Datuk Stephen Wong Tien Fatt).

“Insya Allah... kita akan mendapat sokongan untuk calon nombor tiga (Vivian Wong) yang akan menggantikan mendiang ayahnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan Tinjauan Mesra di Tamu Mingguan Bandar Sandakan, hari ini.

Beliau yang diiringi Wong memulakan program seharinya di daerah ini sempena PRK Sandakan dengan berjumpa orang ramai pada program tinjauan mesra di Bandar Sandakan.

Mengenai tinjauan mesra itu, Wan Azizah berkata, pihaknya tahu 60 peratus orang ramai yang berkunjung ke tamu mingguan itu adalah pengundi tempatan (Sandakan) dan 40 peratus lagi merupakan pengunjung.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri menghadiri lima acara sebelum berlepas balik ke Kuala Lumpur pada petang ini.

Selepas program tinjauan mesra di Tamu Mingguan, Wan Azizah menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Bersama PKR dianjurkan PKR Libaran.

Ini disusuli program tinjauan mesra di Kampung Melayu Bumiputera Sim-Sim, Majlis Ramah Mesra Bersama Ibu Tunggal di Rumah Murah Sim-Sim dan menghadiri Ceramah di Gelanggang Futsal Kampung Melayu Bumiputera Sim-Sim.

PRK Sandakan diadakan susulan kematian Anggota Parlimen Sandakan yang juga Pengerusi DAP Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian awal pada Selasa ini dan hari mengundi pada 11 Mei.

Seramai lima calon bertanding pada PRK Sandakan membabitkan calon dari DAP, Parti Bersatu Sabah dan tiga calon bebas.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Sandakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 1:06 PM
    DR Wan Azizah (dua kanan) bersama Wong (tiga kanan) bertemu pengunjung dan peniaga di Pasar Tamu Sandakan. FOTO Khairull Azry Bidin