GAMBAR hiasan
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


KRU kapal dikhuatiri lemas di perairan Pelantar Gumusut Kakap, dekat Labuan, kelmarin.

Lelaki tempatan berusia 36 tahun itu disedari hilang oleh kru kapal lain kira-kira 1 tengah hari sebelum kehilangannya dilaporkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Maritim Negeri, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan kira-kira 3 petang pada hari sama.

“Mangsa bekerja dalam bidang katering di kapal terbabit dan disedari hilang oleh kru kapal lain.

“Operasi SAR dimulakan sebaik laporan diterima daripada pengadu dan pencarian mangsa telah masuk hari kedua semalam,” katanya dalam kenyataan media di Labuan, hari ini.

Katanya lagi, dalam operasi semalam kawasan pencarian dipecahkan kepada enam sektor di keluasan 184 batu nautika persegi.

“Antara aset yang terlibat dalam operasi ini termasuk aset udara dan laut milik pelantar minyak berkenaan.

“Selain itu, aset udara dari Brunei juga turut membantu dalam pencarian di sempadan negara,” katanya.

Katanya lagi, operasi itu terpaksa ditangguhkan semalam selepas mangsa tidak ditemui dan disambung pada pagi ini.

Terdahulu, Kamaruszaman menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut.

“Komuniti maritim diminta memaklumkan sebarang kejadian kecemasan yang berlaku dilaut kepada pihak APMM atau talian kecemasan di 999 untuk diberi bantuan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 9:16 AM