Wanita warga China dan jurupandu sukan udara tempatan cedera selepas terjatuh ketika hampir mendarat di Kompleks Sukan Ranau. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


WANITA warga China dan jurupandu sukan udara (paragliding) warga tempatan nyaris maut selepas terjatuh ketika hampir mendarat di Kompleks Sukan Ranau semalam.

Dalam kejadian 3.20 petang itu, paraglider lelaki berusia 44 tahun dan penumpang 29, cedera pinggang namun tidak dapat dipastikan tahap kecederaan mereka.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Devi Rashedee Engsoi berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 3.26 petang, enam anggota bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera, kenderaan utiliti jenis pacuan empat roda dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Pasukan bomba berjalan kaki sejauh 2.5 kilometer ke dalam hutan dan mendapati kedua-dua mangsa tidak dapat berdiri dan mengadu mengalami sakit pada pinggang.

“Kedua-dua mangsa diberi rawatan awal dan diangkat menggunakan pengusung ke laluan jalan raya sebelum dibawa menaiki EMRS untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Ranau,” katanya hari ini.

Devi berkata, kedua-dua mangsa sepatutnya mendarat di kawasan pelepasan Kompleks Sukan Ranau namun mengalami masalah teknikal sebelum terjatuh di kawasan hutan berhampiran.

“Pihak bomba tidak dapat memastikan ketinggian kedua-dua mangsa terjatuh namun mereka bernasib baik kerana terjatuh di kawasan lapang,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba menamatkan operasi jam 5.40 petang selepas mangsa dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 9:36 PM