Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


“ANAK mahu buat kejutan untuk menyambut puasa bersama, namun saya yang terkejut apabila menerima berita dia meninggal dunia bersama anak bongsunya.

“Saya mengetahui kemalangan yang membabitkan anak, menantu dan cucu kira-kira jam 11.30 pagi tadi selepas dimaklumkan anak ketujuh yang mengetahui menerusi aplikasi WhatsApp,” kata Sapinah Hussin, 67.

Sapinah ibu kepada Hasliza Arini Muhamad @ Hamid, 34, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Simpang Sungai Ruan, di Raub, Pahang, hari ini.

Kejadian 2.45 pagi itu turut mengakibatkan anak bongsunya, Muhammad Khalish Kautsar Mohd Syaril, 2, serta tiga mangsa yang lain maut, manakala suami dan dua anaknya cedera parah dalam kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dan Perodua Kancil.

Menceritakan kejadian itu, Sapinah berkata, anaknya yang sedang mengandung lima bulan anak keempatnya mahu membuat kejutan memandangkan mereka berjumpa kali terakhir pada Februari lalu.

Katanya, anak kelima daripada sembilan beradik itu bekerja sebagai akauntan mahu menyambut puasa kerana tidak tahu sama ada boleh pulang menyambut Aidilfitri nanti.

“Kali terakhir saya bercakap dengan anak ketika menghubunginya kira-kira 4 petang kelmarin. Ketika itu dia sedang bekerja dan berjanji akan menghubungi kembali.

“Namun, anak tidak menghubungi sebelum saya mengetahui kemalangan menimpanya hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelaboran, Tumpat, hari ini.


MUHAMMAD Ammar Raziq. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Menurutnya, sejak kebelakangan ini perasaannya sangat gembira dan tidak tahu kenapa perasaan itu timbul.

Katanya, perasaan itu sama ketika anak keenamnya, Mohd Hafizan, yang meninggal dunia tiga tahun lalu akibat penyakit paru-paru.

“Selain rasa gembira, mata dan mulut mak cik kerap bergerak sejak sebulan lalu, namun mendiamkan diri kerana mungkin tiada apa-apa.

“Mak cik reda dengan kejadian ini dan jenazah anak serta cucu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kelaboran, malam ini,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Hazwani, 28, yang tinggal Klang, Selangor berkata, dia sangat rapat dengan Allahyarham kakaknya kerana mereka tinggal berdekatan dan sering pulang ke kampung bersama.

“Malam tadi saya naik bas jam 8 malam dan kakak bersama keluarga bergerak dari rumahnya di Klang 9 malam kerana mereka mahu berhenti di rumah ibu mentuanya di Dabong, Kuala Krai.

“Kami tidak memberitahu ibu kerana mahu membuat kejutan untuk sambut Ramadan memandangkan kakak tidak tahu sama ada dapat pulang atau tidak hari raya nanti,” katanya.

Berita berkaitan

Lima maut dua kereta Perodua bertembung

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 3:00 PM