PPM Wilayah Dua menahan PATI keluar melalui laluan yang tidak diwartakan. FOTO ihsan Polis Marin.
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my

SERAMAI 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan selepas dipercayai cuba keluar dari negara ini menerusi laluan tidak diwartakan di Sungai Pulai, Iskandar Puteri, malam tadi.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, Ops Pintasan berjaya menahan kesemua 12 lelaki, sembilan wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua hingga 38 tahun

Katanya, dalam serbuan kira-kira 10.30 malam itu, dua tekong berusia 30-an yang mengemudi dua bot ditahan hasil maklumat dan intipan bot ronda PPM Wilayah Dua.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, bot ronda PPM Wilayah Dua Kukup mengesan dua bot dipercayai PATI mahu keluar menerusi laluan tidak diwartakan.

“Kedua-dua bot berjaya ditahan, selain PPM menahan kesemua PATI yang bersembunyi dalam bot berkenaan.

“Turut dirampas, dua bot jenis gentian kaca dengan ukuran 5.18 x 1.22 meter dan 5.79 x 1.22 meter, selain sebuah bot menggunakan dua unit enjin sangkut jenis Yamaha 40hp + 25hp manakala sebuah lagi menggunakan seunit enjin sangkut jenis Yamaha 40hp,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Paul Khiu berkata, kejayaan itu hasil maklumat dan intipan bersabit tangkapan dan rampasan April lalu sebelum memberkas baki sindiket sama, malam tadi.

“Operasi akan diteruskan bagi memastikan kegiatan ini dibendung habis-habisan.

“Dua tekong akan disiasat mengikut Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala kesemua PATI akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“Masyarakat maritim dinasihatkan untuk maklum sekiranya terlihat atau mempunyai maklumat berkaitan kegiatan yang menyalahi undang-undang serta menggugat ketenteraman awam.

“Salurkan maklumat kepada pihak berkuasa terutama Pasukan Polis Marin Wilayah Dua di talian 07-2372221 @ 07-2372222,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 2:40 PM