MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pengerusi masjid dalam program Jom Sambut Ramadan di Masjid Daerah Kerian. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


PERUNTUKAN sebanyak RM300,000 diluluskan bagi membaik pulih Masjid As Shafiq, Sungai Baru, Kuala Kurau yang rosak dalam kejadian ribut pada 28 April lalu.

Pegerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, kerja-kerja membaik pulih masjid berkenaan sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh tiga minggu.

“Musibah yang berlaku minggu lalu, menjejaskan hampir keseluruhan masjid berkenaan dan kerja-kerja membaik pulih sedang giat dijalankan bermula Khamis lalu dan dijangka siap sebelum Aidilfitri ini.

“Peruntukan yang diluluskan kerajaan negeri itu membabitkan kerja-kerja pembaikan struktur bumbung, siling dan pendawaian yang terjejas akibat bencana ribut,” katanya ketika ditemui di Program Jom Sambut Ramadan di Masjid Daerah Kerian, di Parit Buntar, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Sementara itu, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, pihaknya turut berkesempatan meninjau masjid berkenaan beberapa hari lalu dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang bertindak pantas memberi bantuan.

“Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar juga akan cuba menampung kos-kos lain sekiranya diperlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 2:19 PM