Dua bot asing yang menceroboh perairan Malaysia dekat Laut China Selatan ditahan TLDM. FOTO NSTP
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


DUA bot asing yang menceroboh perairan negara dan melakukan aktiviti haram, ditahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Khamis dan Jumaat lalu di sekitar Laut China Selatan.

Jurucakap Bahagian Komunikasi Strategik Markas Wilayah Laut 1, Tanjung Gelang, Kuantan berkata, seramai 21 warga Vietnam dalam operasi berkala di perairan berkenaan.

“TLDM berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam dan sebuah bot logistik Vietnam ketika melaksanakan operasi berkala di dalam perairan Malaysia dekat Laut China Selatan bermula kelmarin.

“Sebuah bot nelayan Vietnam bersama 13 orang awak-awak ditahan oleh KD Laksamana Muhamad Amin kelmarin manakala semalam, sebuah bot logistik Vietnam bersama 8 orang awak-awak telah ditahan oleh KD Ganyang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Beliau berkata, kedua-dua bot terbabit disyaki menceroboh perairan Malaysia dan melaksanakan aktiviti haram yang boleh menjejaskan ekonomi negara.

“Bot nelayan Vietnam terbabit ditahan dengan bertan-tan hasil laut, manakala bot logistik pula didapati membawa sejumlah besar diesel dipercayai untuk membekal bahan api kepada bot-bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia.

“Kedua-dua bot berkenaan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambah beliau, operasi itu adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan TLDM dalam melindungi dan menjaga kedaulatan perairan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 1:15 PM