PERALATAN pecah pejabat dan barangan disyaki hasil jenayah dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis.
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


LELAKI dikenali sebagai ‘Faizal Mamak’ ditahan polis kerana disyaki menjadi dalang beberapa kejadian pecah pejabat sekitar Rawang serta daerah lain di negeri ini.

Lelaki memiliki 25 rekod jenayah dan dikehendaki polis itu ditahan di Sungai Buloh, 3.30 petang kelmarin, oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, suspek bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas mensasarkan premis rumah kedai dan pejabat sekitar Rawang.

“Suspek menggunakan pemutar skru untuk mengumpil pintu premis, mereka mencuri barangan berharga kemudian dijual pada harga RM100 hingga RM200.

“Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish digunakan suspek dipercayai klon, semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga tidak menemui sebarang rekod.

“Dia dibebaskan daripada penjara Mac tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kumpulan itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan melakukan jenayah bermula tengah malam hingga awal pagi.

Jelasnya polis turut komputer riba, telefon bimbit, kunci kereta, peralatan pecah pejabat, pakaian dan jam tangan disyaki hasil aktiviti jenayah daripada suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 8:19 PM